Wednesday, August 11, 2010

Doktor negara mula ditempatkan di hospital, klinik di Gaza



11/08/2010 5:36pm

GAZA CITY 11 Ogos — Selepas memasuki Gaza dua hari lepas, seramai 35 doktor, pakar dan pegawai perubatan yang mengikuti Misi Kemanusiaan ke Gaza Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) mula ditempatkan di dua hospital dan dua klinik di wilayah konflik itu hari ini.
Doktor yang mewakili semua kaum di Malaysia, sejajar dengan gagasan 1Malaysia itu, ditempatkan secara sementara mengikut keperluan di Hospital Al-Quds di sini, Hospital Khan Younis di selatan Gaza berdekatan dengan sempadan Rafah dan dua klinik, masing-masing di Al-Mawasi dan Al-Ma’an.
Empat kumpulan doktor dan pegawai perubatan, termasuk dua pelajar tahun akhir perubatan di Ireland, itu masing-masing akan diketuai Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman di Hospital Al-Quds, Dr Rishya Manikam (Hospital Khan Younis), Datuk Dr Sri Kumar KV Nair (Klinik Al Mawasi) dan Dr A.Ragini (Klinik Al-Ma’an).
Sementara itu, empat orang doktor diletakkan dalam kumpulan bersiap sedia di Hospital Al-Quds untuk dikerahkan pada bila-bila masa jika terdapat keperluan di hospital dan klinik lain di Gaza iaitu Dr. Zikri Zainal Abidin, Dr. N.Mahendran, Dr. Abdul Maheenudden Mohamed dan Dr. Elsonmond Vick.
Pemangku Pengarah Hospital Al-Quds yang juga Ketua Pengurusan Bencana Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), Dr. Khaleel Abou Foul berkata doktor sukarelawan dari Malaysia akan membantu doktor tempatan di bahagian kecemasan, pembedahan dan kes-kes kesihatan utama. - Bernama

No comments:

Post a Comment