Sunday, August 15, 2010

Banteras peminta sedekah



KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, menjangkakan kegiatan mengutip derma bermusim pada Ramadan ini akan muncul dan mereka mula menjalankan kegiatan sekitar negeri ini. 

Pengarahnya, Md Noor Chik berkata, jabatan itu akan mempertingkatkan operasi bagi mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak mahupun golongan warga emas yang terlibat dengan kegiatan ini. 

Md Noor tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan menjadi pengutip derma yang berkeliaran dan berlegar-legar meraih simpati bagi mendapatkan wang. 

“Selain operasi bulanan yang dilakukan sebelum ini, kita akan menggandakan lagi pemantauan di sekitar bandar ini sepanjang Ramadan untuk membendung kegiatan seperti ini. 

“Kita juga bimbang kewujudan individu tertentu secara bermusim ini adalah melibatkan sindiket yang sengaja mengambil kesempatan ketika Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian di Lundang dekat sini. 

Beliau juga yakin kerana sifat rakyat kita yang pemurah menjadikan mereka ini meneruskan kelakuan itu, namun bagaimanapun Md Noor bersama pegawainya tetap akan melakukan sesuatu supaya kegiatan berkenaan boleh dikurangkan. 

“Pemantauan serius juga akan dilakukan di beberapa lokasi yang sering menjadi tumpuan golongan peminta sedekah secara bermusim ini. Kita juga akan pastikan modus operandi mereka ini. 

“Sebelum ini difahamkan ada pihak yang menghantar untuk mengutip derma dan mengambilnya dalam jangka masa tertentu, tetapi itu adalah salah satu cabaran kepada kami. Saya berharap orang ramai dapat membantu pihak JKM dalam menangani isu ini,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian juga mendapati, pengutip derma ini berani mengetuk cermin kenderaan yang berhenti di lampu isyarat untuk meminta wang. 

Sinar Harian difahamkan ada antara peminta sedekah ini sebenarnya bukanlah miskin tetapi malas bekerja sedangkan kudrat masih gagah untuk mencari rezeki. Sehinggakan ada pengunjung memberitahu individu itu dapat hidup lebih baik dengan hasil mengutip derma.

No comments:

Post a Comment