Sunday, August 15, 2010

Tiada tempat mengadu




MERSING – Sudah jatuh namun ditimpa tangga, itulah ungkapan yang dialami oleh seorang ibu orang kurang upaya (OKU) kerana nasib malang menimpanya dalam nahas kemalangan dulu. 

Iadayati Ahmad, 37, terlibat dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori sembilan tahun lepas. 

Nahas yang meragut nyawa suaminya, Md Amin Marsat itu berlaku di persimpangan jalan Kota Tinggi – Kulai pada 2001 yang turut menyebabkan beliau koma selama dua bulan dan enam bulan terlantar di hospital tanpa mengetahui keadaan suaminya. 

Menurutnya, semenjak kemalangan itu menimpa, kehidupannya berubah kerana selama ini dia bergantung kepada pendapatan suaminya sahaja. 

Iadayati berkata, syarikat insurans hanya memberikan wang pampasan tidak berpadanan dengan jumlah yang sepatutnya dapat. 

“Syarikat insurans hanya memberikan pampasan sebanyak RM4,000 dan sebahagian daripadanya digunakan untuk menjelaskan bayaran khidmat peguam. 

“Dengan RM2,000, apa sa�ngat yang boleh dilakukan, sedangkan kos berulang-alik ke mahkamah pun lebih daripada itu. Timbul juga rasa tertanya-tanya sebab saya hanya mendapat sejumlah kecil sahaja, sedangkan ia melibatkan kematian,” katanya. 

Setelah pulih daripada kecederaan, dia berulang-alik ke mahkamah untuk proses tuntutan insurans diri dan Allahyarham suaminya yang memakan kos yang agak tinggi. 

Dia yang mempunyai dua cahaya mata berumur sembilan dan 15 tahun hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham bergantung hidup de�ngan elaun OKU yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. 

Kini, beliau telah berumah tangga dengan Abdul Lani Mohamad, 47, suami barunya yang hanya bekerja sebagai buruh dan menghidap asma. 

Menurutnya, kini beliau dan anak-anak menumpang rumah yang diberi tumpang oleh ibu mertua yang juga serba kekurangan. 

“Saya memohon kepada sesiapa yang boleh membantu supaya kes tersebut dibuka kembali kerana saya berhak untuk memohon pampasan daripada syarikat insurans atas kejadian tersebut. 

“Dan saya ada menerima notis daripada peguam supaya menandatangani dokumen untuk menutup kes tersebut tanpa ada sebarang sebab munasabah. Ini menimbulkan persoalan sebab kes itu ditutup sedangkan apa yang sepatutnya saya dapat masih belum saya dapat,” katanya. 

Menurutnya, dia pernah meminta khidmat Biro Bantuan Guaman tetapi diarahkan merujuk perkara tersebut ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. 

No comments:

Post a Comment