Saturday, August 21, 2010

Bazar Ramadan lubuk rezeki pengemis




KUALA TERENGGANU - Bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini dianggap lubuk rezeki bagi pengemis dan peminta sedekah, menyebabkan ramai di antara mereka menjadikan lokasi itu sebagai kawasan tumpuan untuk kegiatan mengemis. 

Malah, ada di antara mereka sanggup datang dari jauh hanya semata-mata untuk mengaut pendapatan yang dikatakan berlipat kali ganda berbanding hari biasa. 

Bagi yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan, segelintir daripada mereka mampu menyewa teksi untuk ke bazar-bazar Ramadan yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang bulan mulia ini. 

Senario ini terbongkar melalui hasil siasatan Operasi Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau yang dijalankan Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Terengganu. 

Penyelaras operasi, Monira Sulaiman berkata, pengemis dan peminta sedekah terbabit tidak pernah serik walaupun kerap kali diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam operasi yang dijalankan sebelum ini. 

“Kami mendapati, majoriti yang diselamatkan adalah dalam kalangan orang sama dan mereka dilihat tidak takut pada risiko yang bakal dihadapi demi mendapatkan pendapatan lebih, terutama pada Ramadan.

“Mereka mengambil kesempatan sepenuhnya kerana mengetahui pada bulan ini, sudah pasti ramai yang bermurah hati untuk memberi sedekah dan disebabkan itu juga, mereka sanggup mengharungi perjalanan jauh setiap hari semata-mata kerana wang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Operasi Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau sepanjang bulan Ramadan 2010 di Bazar Ramadan Kuala Ibai, di sini, kelmarin.

Monira berkata, operasi di bawah akta Orang-Orang Papa 1977 yang menyatakan bahawa kegiatan ini boleh menyebabkan gangguan kepada orang ramai bertujuan memastikan bandar raya Kuala Terengganu bersih daripada kegiatan mengemis dan meminta sedekah.

Menurutnya, lokasi yang diberi tumpuan sepanjang operasi Ramadan melibatkan keseluruhan bazar Ramadan di sekitar Kuala Terengganu serta hasil maklumat orang awam.

Sementara itu katanya, hasil operasi yang dijalankan di bazar Ramadan Kuala Ibai, pihaknya berjaya menyelamatkan dua peminta sedekah orang kurang upaya (OKU) kategori penglihatan dari Taman Rahmat, Marang.

No comments:

Post a Comment