Friday, August 20, 2010

Briged tempur AS berundur


BARISAN konvoi Briged Tempur Stryker bergerak keluar dari Iraq menuju ke Kuwait awal pagi, kelmarin sebagai sebahagian daripada proses pengunduran tentera AS dari Iraq . - REUTERS


WASHINGTON 19 Ogos - Briged tempur terakhir tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari Iraq dan menyeberangi sempadan ke Kuwait malam tadi, hampir tujuh tahun setengah selepas AS melancarkan serangan yang menggulingkan Saddam Hussein.
Siaran televisyen menunjukkan konvoi Briged Stryker ke-4, Divisyen Infantri ke-2 mula menyeberangi sempadan Iraq-Kuwait sekitar tengah malam tadi waktu Iraq.
Kenderaan terakhir menyeberangi sempadan sekitar 3.53 pagi waktu tempatan (8.53 pagi ini waktu Malaysia) sebelum pintu pagar sempadan ditutup.
Briged Stryker ke-4 dilaporkan mempunyai kira-kira 4,000 askar.
Selepas pengunduran Briged Stryker itu, dua lagi briged tempur masih berada di Iraq tetapi kedua-duanya dalam proses peralihan untuk menjadi unit bukan tempur yang akan melatih askar Iraq, lapor CNN.
Namun media AS memetik pegawai pentadbiran sebagai berkata, pengunduran briged tersebut tidak bermakna berakhirnya misi tempur.
Misi tempur tentera AS secara rasminya akan berakhir mengikut jadual pada 31 Ogos ini.
Presiden AS, Barack Obama menetapkan akhir Ogos sebagai sebagai tarikh akhir untuk menamatkan operasi tempur di Iraq.
Washington berkata, kira-kira 50,000 askar AS akan terus berada di Iraq sehingga tahun depan untuk menjalankan misi sokongan dan latihan.
Dalam sepucuk surat yang disiarkan di laman web White House semalam, Obama mengalu-alukan berakhirnya operasi tempur pada bulan ini tetapi tidak menyebut tentang pengunduran briged tempur terakhir dari Iraq. - Bernama

No comments:

Post a Comment