Friday, August 20, 2010

Isu Wahabi: Mufti Perlis mahu majalah milenia muslim disiasat

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya hari ini menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan mengambil tindakan terhadap sebuah majalah agama yang didakwa anti perpaduan dan menghasut masyarakat untuk berpecah belah.
Katanya, pada saat kesatuan negara semakin diperkukuh oleh slogan 1Malaysia yang dilaungkan kerajaan persekutuan, namun masih wujud cubaan yang mahu mencetuskan perbalahan isu keagamaan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini bagi merujuk tulisan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dalam majalah Milenia Muslim keluaran Ogos 2010, bertajuk "Penyelewengan Wahabi" yang antara lainnya menyebut bahawa tindakan negeri Perlis keluar daripada Jemaah dan mengambil jalan sendiri, kononnya mengembangkan Islam tanpa mazhab, adalah salah dan mesti ditentang.

Dua hari lalu, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu tampil membantah siaran artikel itu yang didakwa seolah-olah merupakan satu hasutan terhadap Perlis.

Mereka juga mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghentikan segera perbincangan bersabit isu Wahabi yang mengaitkannya dengan negeri Perlis dan memohon Raja Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendesak penulis dan penerbit majalah itu menarik balik tuduhan dan memohon maaf secara terbuka.

Juanda berkata, pengamalan agama Islam di Perlis dijamin oleh Perlembagaan Negeri dan Persekutuan yang mana Fasal 5 Perlembagaan Negeri jelas menyatakan bahawa Islam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah agama negeri.

"Apa yang menjadi kemusykilan ialah, mengapa penulis artikel itu beriya-iya benar cuba memalitkan negeri Perlis dengan tuduhan yang sering dinafikan sendiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Ketua Agama Islam negeri itu," katanya.

Menurut beliau, Perlis menghormati pandangan semua mazhab dan apa yang diamalkan tidak terikat dengan mana-mana mazhab dan memilih amalan yang menepati kehendak al-Quran dan Sunah, tafsiran sahabat serta ulama Salafussoleh. "Lantaran itulah pandangan agama dari negeri ini sering dijadikan rujukan oleh umat Islam seluruh negara dan sebahagian besar amalan negeri ini dapat diterima di tempat lain secara meluas," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment