Tuesday, August 3, 2010

Isytihar aset kepada umum terserah PM



PUTRAJAYA 2 Ogos - Terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berkenaan cadangan meminta anggota Kabinet mengisytiharkan aset kepada umum.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini anggota Kabinet telah membuat perakuan tentang harta mereka kepada Perdana Menteri.
''Kalau sudah isytihar kepada Perdana Menteri, (itu sudah) mengikut peraturan. Tetapi kalau ada yang berpendapat perlu (isytihar) kepada SPRM, itu terserah kepada Perdana Menteri.
''Kita telah mengikut prosedur dan ada perakuan sumpah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohammed yang bercadang meminta semua anggota Kabinet mengisytiharkan harta kepada umum.
Pada Sabtu lalu, Abu Kassim dilaporkan bersetuju dengan cadangan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama anggota Kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan.

No comments:

Post a Comment