Tuesday, August 3, 2010

Isytihar harta, Muhyiddin serah pada PM




PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memutuskan sama ada cadangan supaya ahli Kabinet mengisytiharkan harta kepada umum perlu dilaksanakan atau sebaliknya, kata timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, mengikut amalan sekarang, setiap ahli Kabinet hanya memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri. 

“Sama ada perkara itu hendak dijadikan sebagai langkah baru perlu diteliti. Apa pun terserah kepada Perdana Menteri. 

“Kita buat ikut prosedur dan membuat perakuan bersumpah kepada Perdana Menteri. Bukan isytihar begitu sahaja,” katanya. 

Muhyiddin mengulas cadangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohammed yang berhasrat untuk meminta semua ahli Kabinet mengisytiharkan harta kepada umum. 

Abu Kassim sebelum ini dilaporkan bersetuju dengan cadangan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama di kalangan ahli Kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan. 

Di :BAGAN DATOH, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet perlu memutuskan sama ada perlu mengisytiharkan kepada Perdana Menteri sebagai amalan biasa atau perlu mengumumkan kepada masyarakat umum mengenai pengisytiharan harta itu. 

“Bagaimanapun, kita akur dengan keputusan jemaah Menteri nanti kalau Perdana Menteri membuat keputusan sepertimana yang dicadangkan oleh SPRM.

“Tetapi, pada zaman Paklah (Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri), memang ada cadangan demikian, tetapi terserah kepada Perdana Menteri sama ada cukup sekadar makluman beliau sahaja atau perlu bersetuju seperti yang dicadangkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment