Sunday, August 22, 2010

Wan Azizah kena buktikan bukan 'Presiden Boneka'


KUALA LUMPUR 21 Ogos - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu mengambil keberkatan Ramadan untuk membersihkan namanya daripada terus digelar 'presiden boneka.'
Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, pelbagai tohmahan timbul mengatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu memberi keistimewaan kepada Naib Presiden parti itu, Azmin Ali hingga menjadikannya amat berkuasa melebihi presiden.
Menurut beliau, sebagai Presiden, Wan Azizah wajib memberi penjelasan mengenai perkara itu kerana sekiranya ia dibiarkan berterusan, bermakna beliau reda dengan fitnah tersebut atau bermakna tohmahan itu memang berasas.
"Saya amat hairan mengapa Anwar dan Wan Azizah masih membisu. Demi maruah, mereka berdua perlu menjelaskan tentang kedudukan istimewa Azmin ini.
"Azmin boleh kawal Anwar sehingga apa sahaja yang dikehendakinya pasti akan dipenuhi Anwar.
"Demi bulan Ramadan, Wan Azizah kena jelaskan bagi mengelak tanggapan bahawa beliau adalah presiden boneka. Wan Azizah dikawal oleh Anwar dan Anwar pula (seolah-olah) dikawal oleh Azmin," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Saidatul Badru mengulas gesaan bekas rakan baik Anwar, Datuk S. Nallakarupan yang mencabar diberikan penjelasan berhubung kedudukan terlalu istimewa yang dinikmati oleh Azmin.
Bagaimanapun cabaran itu langsung tidak dijawab oleh pasangan suami isteri itu.
Azmin selaku Naib Presiden PKR baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membuktikan kedudukan istimewa Azmin kepada penasihat parti itu.

No comments:

Post a Comment