Tuesday, September 7, 2010

Blair takut dibaling lagi



BLAIR meninggalkan Millbank Studios selepas temu bual televisyen di London, semalam. - AFP


LONDON 6 Sept. - Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair hari ini berkata, beliau mungkin membatalkan majlis menandatangani buku di sini minggu ini sempena pelancaran memoir beliau kerana khuatir acara itu akan diganggu oleh penunjuk perasaan.
Tiga orang ditangkap selepas telur dan kasut dibaling ke arah Blair, 57, setibanya beliau untuk menandatangani naskhah memoirnya A Journey di sebuah kedai buku di Dublin, Ireland, kelmarin.
Kira-kira 200 penunjuk perasaan bertempur dengan polis tetapi tiada kecederaan dilaporkan dan apa yang dibaling tidak mengenai Blair.
Aktivis antiperang dan parti pelampau berhaluan kanan, Parti Nasional British (BNP) mengumumkan, mereka akan mengadakan demonstrasi di cawangan kedai buku Waterstone di Piccadilly, tengah London pada Rabu ini untuk mengutuk keputusan Blair menyertai serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq pada 2003.
"Saya tidak mahu menimbulkan banyak masalah bagi orang ramai dan banyak beban bagi polis untuk satu acara menandatangani buku," kata Blair kepada Sky News.
Beliau mendakwa bilangan mereka yang hendak memprotes tidak seberapa berbanding pembeli memoirnya yang mahu buku mereka ditandatangani.
Kawalan keselamatan ketat sudah diatur untuk acara yang dijadual pada Rabu ini dan pihak Waterstone berkata, semua beg dan telefon mudah alih akan diperiksa terlebih dahulu.
Ketika bercakap dengan media hari ini, Blair berkata, jualan memoirnya 'sangat laris' meskipun beliau turut menghadapi kempen Internet yang dilancarkan bagi menggendalakan jualan.
Sebuah kumpulan yang didirikan di Facebook menggesa orang ramai supaya memindahkan naskhah buku itu ke bahagian 'jenayah' di kedai-kedai buku.
"Paksa pihak kedai buku berfikir dua kali mengenai kategori paling sesuai untuk menempatkan buku penjenayah perang terbesar generasi kita," menurut kempen yang sudah menarik hampir 7,000 anggota. - Reuters

No comments:

Post a Comment