Tuesday, September 7, 2010

Pas cabar Zainuddin



SHAH ALAM – Pas menyifatkan keengganan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menarik balik tuduhannya mendakwa Pas sebagai parti ekstrem kerana dendamnya kepada parti itu. 

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, adalah satu perkara yang mustahil apabila ada pemimpin Pas menyuruh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi merampas harta kaum Cina sewaktu peristiwa 13 Mei 1969. 

Justeru katanya, Pas mencabar Zainuddin mendedahkan siapakah pemimpin yang telah berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman untuk tujuan tersebut jika benar dakwaan yang dilontarkan itu. 

“Tunku tidak ambil serius dan tidak memaklumkan kepada beliau siapa pemimpin tersebut malah Pas adalah parti yang mempunyai dasar dan organisasi yang teratur. 

“Perlu diingatkan Pas daripada peringkat awal penubuhan mengambil pendekatan muwajahah silmiah (cara aman) bukan secara tidak tidak demokrasi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata, sebarang keputusan dasar yang dibuat oleh mana-mana individu, daripada Mursyidul Am hinggalah ahli biasa tidak dianggap mewakili pandangan parti melainkan setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat, Syura dan muktamar. 

“Contohnya ketika Pas hendak menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan, kemudian Barisan Nasional, parti ini tetap sabar walaupun provokasi dilakukan UMNO melalui gerakan pemuda tahan lasak pada tahun 60-an. 

“Jadi adakah logik Pas hendak bertindak ganas merampas harta orang Cina. Kalaulah Pas hendak lakukan tidak perlu meminta bantuan Tunku Abdul Rahman kerana boleh melakukan sendiri terhadap kaum Cina di Kelantan sebaliknya apa yang berlaku pada masa itu huru-hara di luar Kelantan,” katanya. 

Idris yakin tujuan utama tuduhan tersebut adalah untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Cina di negara ini terhadap Pas. 

Berikutan tuduhan tersebut, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh Pas meminta bekas menteri itu disiasat.

No comments:

Post a Comment