Tuesday, September 28, 2010

Netanyahu tidak lanjutkan pembekuan



Pendatang Yahudi menurunkan acuan simen pada batu asas bagi pembinaan bangunan di kawasan penempatan haram Kiryat Netafim di Tebing Barat, Palestin, kelmarin. – AP


BAITULMAQDIS 27 Sept. – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membiarkan pembekuan ke atas aktiviti pembinaan perumahan haram Yahudi di wilayah Palestin berakhir tengah malam tadi tanpa menghiraukan tekanan hebat masyarakat antarabangsa supaya beliau melanjutkan tempoh itu.
Netanyahu, bagaimanapun menggesa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tidak menarik diri daripada rundingan damai secara langsung dengan Israel sebagai protes.
“Saya menggesa Presiden Abbas meneruskan rundingan positif dan jujur yang baru kita lancarkan dalam usaha untuk mencapai perjanjian damai bersejarah antara kedua-dua rakyat kita,” kata Netanyahu dalam kenyataan, awal hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas beliau membiarkan pembekuan selama 10 bulan ke atas sebahagian pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin berakhir tanpa dilanjutkan.
Abbas sebelum ini menggesa Netanyahu melanjutkan pembekuan tersebut.
“Presiden Abbas mahu meneruskan rundingan tetapi Netanyahu mesti mengambil keputusan untuk membekukan aktiviti pembinaan bagi mewujudkan suasana yang sesuai untuk meneruskan rundingan damai,” kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina kepada AFP di Paris.
Amerika Syarikat (AS) juga mengulangi desakannya supaya Israel terus membekukan pembinaan kawasan perumahan haram baru Yahudi, dan berkata, pendirian Washington berhubung isu tersebut masih tidak berubah.
“Kami terus berhubung rapat dengan kedua-dua pihak dan akan menemui mereka lagi pada hari-hari akan datang,” kata jurucakap Jabatan Negara, PJ Crowley.
Abbas telah berkali-kali memberi amaran beliau akan menarik diri daripada rundingan damai yang dilancarkan semula di White House pada awal bulan ini jika Israel menyambung semula aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Namun, Abbas semalam berkata, beliau akan menemui menteri-menteri luar Arab pada 4 Oktober ini terlebih dahulu sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin adalah antara isu paling hangat dalam konflik Israel-Palestin.
Buat masa ini kira-kira 500,000 rakyat Israel tinggal di lebih 120 kawasan penempatan haram Yahudi di serata tempat di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis, wilayah-wilayah yang dituntut oleh Palestin untuk dijadikan negara mereka kelak. – AFP

No comments:

Post a Comment