Tuesday, September 28, 2010

Pemuda UMNO, PAS, PKR timbang ajakan PERKASA





2010/09/28

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Pemuda UMNO, Dewan Pemuda PAS dan PKR bersetuju dan bersedia menimbang ajakan Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kedah untuk mengadakan rundingan meja bulat membincangkan isu perpaduan Melayu. 

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pergerakan itu bersetuju dengan cadangan Wira PERKASA dan sentiasa terbuka berbincang mengenai isu perpaduan Melayu.
“Perpaduan Melayu bukan milik UMNO saja tetapi merangkumi semua orang Melayu termasuk orang Melayu dalam PAS, PKR dan badan bukan kerajaan yang berteraskan Melayu.
“Cadangan persidangan meja bulat membincangkan perpaduan Melayu mesti dijadikan kenyataan membabitkan parti politik, termasuk pertubuhan Melayu dan bukan hanya cakap-cakap saja,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. 

Kelmarin, Ketua Wira PERKASA Kedah, Shaharol Niza Omar mengajak pemimpin sayap Pemuda UMNO, PAS dan PKR menyertai rundingan meja bulat bagi membincangkan isu perpaduan Melayu. 

Shaharol Niza berkata, pihaknya berpendapat perpecahan bangsa Melayu sudah sampai ke tahap serius dan pihaknya bersedia menjadi orang tengah menemukan pemimpin sayap pemuda tiga parti itu mencari jalan penyelesaian demi masa depan perjuangan Melayu. 

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, pula berkata cadangan rundingan meja bulat antara pemimpin sayap UMNO, PAS dan PKR adalah idea yang baik. 
Katanya, Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia untuk memberikan kerjasama kerana rundingan berkenaan membawa kepada kebaikan umat Islam dan orang Melayu di negara ini. 

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amirudin Shari, berkata pihaknya berminat dengan cadangan berkenaan bagi membincangkan masalah sebenar orang Melayu dan bukannya isu perpaduan semata-mata. 

“AMK mahu perbincangan intelek dan sihat dalam hal ini dan ia harus mengambil berat masalah sebenar orang Melayu pada zaman sekarang dan bukan isu perpaduan Melayu berdasarkan emosi,” katanya.

No comments:

Post a Comment