Tuesday, October 26, 2010

70 mangsa ribut terima sumbangan



26/10/2010 4:12pm

KULIM- Seramai 70 mangsa kejadian ribut di Ladang Bukit Sidim di sini minggu lepas, menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali daripada UMNO Bahagian Padang Serai, hari ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud berkata sumbangan itu adalah untuk meringankan beban mangsa yang kebanyakkannya terdiri daripada kaum India, dalam menyambut ketibaan Deepavali awal bulan depan.
"Barisan Nasional selama ini tidak pernah memilih sama ada penyokong atau anggota mana-mana parti pembangkang untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di ladang berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan mengunjungi ladang-ladang dalam kawasan Parlimen Padang Serai untuk menyampaikan sumbangan itu bagi memastikan masyarakat India yang kurang bernasib baik dapat merayakan Deepavali dengan lebih ceria.
Penerima hari ini terdiri daripada kalangan pekerja-pekerja ladang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang menjadi mangsa ribut kuat yang melanda kawasan perumahan ladang itu pada 20 September lepas.
Sebanyak 86 buah rumah mengalami kerosakan akibat kejadian itu, termasuk dua buah yang mengalami kerosakan teruk. - Bernama

No comments:

Post a Comment