Tuesday, October 26, 2010

Penduduk bantah lombong bijih besi



KAMPUNG GANOH – Kira-kira 100 masyarakat Orang Asli Kampung Ganoh di sini, berhimpun secara aman bagi menuntut pampasan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti melombong bijih besi di perkampungan berkenaan. 

Penduduk mendakwa, syarikat terbabit menjalankan kerja cari gali sejak enam bulan lalu di tanah pertanian yang diusahakan penduduk selama ini hingga menjejaskan sumber pendapatan penduduk. 

Mereka turut mendakwa, kawasan seluas 3.2 hektar yang diusahakan oleh empat penduduk di kampung itu, kebanyakannya musnah akibat daripada kerja melombong besi terbabit. 

Kebanyakan penduduk yang bergantung harap kepada aktiviti pertanian dengan menanam pokok getah, kelapa sawit, rambutan, pokok cempedak dan petai kecewa apabila tanaman mereka ditebang syarikat itu. 



Pokok ditebang jejas pendapatan 



Seorang penduduk, Husin Yahya, 53, berkata, sebelum ini syarikat cari gali itu memberi jaminan kepada pemilik tanaman mereka berjanji membayar semula pampasan selepas syarikat terbabit menebang tanaman penduduk. 

Bagaimanapun Husin berkata, sehingga ke hari ini syarikat itu belum menunaikan janji mereka kepada penduduk hingga sebahagian daripada pemilik tanaman hilang sumber pendapatan. 

“Saya sudah usahakan pelbagai tanaman untuk tujuan sara diri di sini sejak 10 tahun lalu dengan tanaman rambutan, cempedak, nangka untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian. 

Bagaimanapun katanya, kerakusan pihak terbabit mengusahakan projek itu menyebabkan dia dan tiga lagi pemilik tanaman di sini, dihimpit kebimbangan apabila kebanyakan pokok yang ditanam musnah dalam sekelip mata. 

“Tanah pertanian ini adalah rezeki kami sekeluarga sejak dulu lagi dan saya amat sedih apabila melihat kawasan ini kosong dan hanya ada jengkaut untuk menjalankan operasi cari gali,” katanya. 



Pampasan perlu dibayar dengan nilai kerugian 



Seorang pemilik tanaman, Ka Badas, 54, berkata, pihak syarikat itu perlu membayar keseluruhan kerugian yang ditanggung pemilik tanaman dan bukan hanya dibayar sekali seumur hidup. 

Menurutnya, jika sebelum ini pemilik tanaman boleh memperoleh hasil pertanian setiap bulan, mereka turut menuntut kepada pihak syarikat supaya dapat membayar ganti rugi seperti apa yang mereka nikmati sebelum ini. 

“Kalau tiap-tiap bulan penduduk boleh meraih hasil pertanian, saya dan penanam lain juga mahu pihak syarikat membayar kami seperti apa yang kami peroleh sebelum ini,” katanya. 

Ka berkata, tuntutan itu perlu dibayar sama dengan nilai hasil pertanian yang mereka nikmati sebelum ini memandangkan penduduk di situ tidak mempunyai pendapatan tetap. 

“Saya berharap syarikat itu mengambil berat soal kebajikan penduduk kerana tanah ini telah lama kami usahakan bagi tujuan ekonomi penduduk setempat,” katanya. 



Ibu tunggal kecewa hilang mata pencarian 



Seorang lagi pemilik tanaman, Juriah Ibrahim, 40, berkata, dia kesal kerana kesemua tanamannya musnah akibat kerja cari gali yang dijalankan pihak terbabit. 

Juriah yang juga ibu tunggal berkata, kehidupannya bertambah susah akibat sikap pihak terbabit yang melengah-lengahkan proses bayaran pampasan memandangkan dia hanya bergantung harap kepada hasil pertanian. 

“Saya amat terkilan dan sedih dengan apa yang berlaku kerana selama ini saya menjaga dan mengusahakan pokok getah, kelapa sawit dan tanaman lain seolah-olah sama seperti saya menjaga anak sendiri. 

“Tapi bila hal ini berlaku, saya rasa hilang segala-galanya, tambahan pula tanaman ini sudah saya usahakan bertahun lamanya,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Mesuin Husin, 29, terkilan selepas pokok getah yang baru ditanam belum mengeluarkan hasil, tetapi dimusnahkan oleh syarikat itu. 

“Baru beberapa tahun saya tanam getah dan hanya menunggu hasil saja lagi, tapi kecewa kerana pokok getah yang ditanam telah ditebang dengan projek itu,” katanya. 



Air sungai mula keruh 



Biro Ekonomi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Ganoh, Osman Akau mendakwa, kerja melombong di penempatan Orang Asli menyebabkan air Sungai Ganoh menjadi keruh terutama ketika hujan. 

Menurutnya, keadaan itu dipercayai berpunca daripada kerja cari gali itu hingga mengakibatkan sungai berhampiran menjadi keruh berbanding sebelum ini. 

“Kita amat kesal dengan keadaan ini dan berharap pihak terbabit ambil kira soal kepentingan sumber air di sini yang menjadi nadi kepada penduduk untuk minum dan membasuh pakaian sekiranya bekalan air terputus,” katanya. 



Pemimpin kampung kecewa 



Ketua UMNO Cawangan Kampung Ganoh, Amir Sidin meluahkan rasa kecewa dengan tindakan yang dilakukan syarikat terbabit tanpa mengambil kira soal kebajikan setempat. 

Amir berkata, kampung Orang Asli Ganoh itu adalah penempatan lama yang dibuka sejak 1954 dengan dihuni lebih 54 keluarga. 

Katanya, kebanyakan penduduk di situ hanya mengharapkan tanah pertanian yang diusahakan penduduk di situ sejak sekian lama. 

“Penduduk turut bimbang sekiranya kawasan lain di kampung ini juga akan mengalami nasib yang sama dengan apa yang berlaku kepada empat pemilik tanaman di sini. 

“Saya berharap syarikat perlombongan memberi pampasan segera dan setimpal dengan apa yang telah diusahakan penduduk selama ini,” katanya. 



Syarikat dapat kelulusan Pejabat Tanah 



Sementara itu, jurucakap syarikat berkenaan, Datuk Munir Mat Yusoff berkata, kerja yang dilakukan oleh syarikat itu mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Rompin. 

Menurutnya, sebanyak 83 hingga 133 hektar tanah di kawasan itu diluluskan pihak terbabit bagi menjalankan kerja cari hasil bijih besi di kawasan itu. 

“Kita tidak ceroboh sebaliknya kawasan itu sudah diluluskan untuk projek terbabit,” katanya. 

Munir berkata, syarikat itu juga akan menjelaskan pampasan kepada pemilik tanah dalam masa terdekat tetapi memerlukan kajian yang menyeluruh sebelum sebarang membuat bayaran kepada pemilik tanaman. 

“Kita perlu kaji semua perkara ini kerana terdapat tuntutan melampau yang diminta oleh penduduk, namun bagaimanapun kita akan tetap menjelaskan bayaran terbabit,” katanya. 

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan penduduk Orang Asli di situ mendirikan khemah sementara bagi menghalang kerja operasi di tanah terbabit hingga pihak syarikat membayar pampasan.

No comments:

Post a Comment