Tuesday, October 12, 2010

Anwar ditegur kemuka fakta tidak tepat


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ditegur kerana memberikan fakta tidak tepat ketika bertanyakan soalan pada sidang Dewan Rakyat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata,Anwar (PKR-Permatang Pauh) mendakwa daya saing Malaysia merosot ke tangga 26 berdasarkan Laporan Ekonomi Dunia (WER) 2009 sedangkan maklumat itu sebenarnya adalah daripada Laporan Daya Saing Global (GCR) 2009.
"Untuk makluman Yang Berhormat Permatang Pauh, laporan yang dimaksudkan adalah daripada GCR dan bukannya WER seperti yang disebut.
"Kita akui bahawa kedudukan kita turun sedikit daripada tangga 24 ke 26. Bagaimanapun menurut laporan ini jika dibandingkan negara lain di Asia Pasifik seperti China, Thailand, Indonesia dan India, kedudukan kita lebih baik," katanya menjawab soalan Anwar pada sidang berkenaan.
Mustapa turut menempelak Anwar yang hanya memilih fakta tertentu yang negatif untuk dibangkitkan dan mengabaikan laporan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2010 yang menyebut kedudukan Malaysia meningkat daripada tangga ke-18 pada 2009 kepada tangga ke-10 tahun ini.
"Permatang Pauh juga menyebut laporan Bank of America-Merill Lynch bagi September 2010 bahawa Malaysia dikategorikan sebagai pasaran paling kurang diminati pelabur.
"Laporan ini tidak boleh digunakan kerana ia adalah untuk jangka masa pendek dan ia berbeza dari semasa ke semasa bergantung kepada kedudukan pasaran saham dan ekonomi Malaysia yang berubah-ubah," ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapa menyifatkan pakatan pembangkang kini agak menggelabah berikutan pelbagai kesan positif terhadap negara ini hasil program transformasi kerajaan (GTP) dan program transformasi ekonomi (ETP) yang sedang dilaksanakan.
"Kita rasa pembangkang sekarang agak menggelabah berikutan kesan positif yang sudah mula timbul yang tidak boleh digunakan untuk berkempen pada pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi," katanya.
Beliau juga melahirkan perasaan kesal dengan sikap Anwar yang hanya pandai menuduh pentadbiran kerajaan tidak telus sedangkan parti yang diterajuinya sendiri juga menghadapi pelbagai tuduhan yang sama ketika proses memilih calon yang akan bertanding merebut jawatan tertinggi parti itu.
"Kerajaan mengakui bahawa kita ada kelemahan termasuk aspek ketelusan, sebab itu kita telah laksanakan GTP dan ETP. Bezanya kerajaan buat dan laksanakan, sedangkan PKR hanya cakap tapi belum buat lagi," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) turut menempelak Penasihat DAP itu yang hanya memilih perkara negatif mengenai pasukan polis untuk diperbesarkan.

No comments:

Post a Comment