Tuesday, October 12, 2010

SPR sedia 2 helikopter, 4 pacuan empat roda


KOTA BHARU 11 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyediakan dua buah helikopter dan empat kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan proses pengundian Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di kawasan pedalaman berjalan lancar sekiranya berlaku musim tengkujuh.
Pengarah SPR negeri, Mohamad Mahmud berkata, kemudahan logistik itu disediakan memandangkan keadaan jalan di empat daripada enam daerah mengundi melibatkan Orang Asli, sukar dihubungi menggunakan kenderaan biasa.
Katanya, keempat-empat daerah itu ialah Belatim dengan 160 pengundi, Balar (232), Bihai (278) dan Hau (254) yang akan mula membuang undi pukul 8 pagi sehingga 1 tengah hari di empat pusat pengundian.
“Jika keadaan cuaca buruk, perkhidmatan pacuan empat roda diperlukan bagi keempat-empat daerah mengundi tersebut. Perkhidmatan helikopter berkemungkinan tidak dapat digunakan untuk mendapat apabila (kawasan) diselubungi awan atau kabus.
‘‘Dalam hal ini, empat daerah mengundi ini dicadangkan pengiraan undi secara berkelompok d Pusat Sivik Gua Musang,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, malam tadi.
Mohamad yang baru memulakan tugas sebagai Pengarah SPR negeri awal bulan ini berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi bagi mengetahui perkembangan semasa keadaan cuaca di daerah Gua Musang supaya pihaknya boleh membuat segala persiapan bagi memastikan kelancaran proses pengundian 4 November ini membabitkan 13 daerah di 25 saluran mengundi.
Beliau berkata, seramai 11, 553 pemilih layak mengundi pada pilihan raya tersebut iaitu Melayu seramai 7,125 atau 61.67 peratus, Cina (2,317 atau 20.06 peratus), India (185 atau 1.60 peratus), Orang Asli (1,889 atau 16.35 peratus), bumiputera Sarawak (10 atau 0.09 peratus) dan lain-lain (27 atau 0.23 peratus).
“Senarai daftar pemilih yang akan digunakan telah dibuat pemutihan bagi mengelak pengundi hantu.,” katanya.

No comments:

Post a Comment