Tuesday, October 12, 2010

Enam laporan penipuan peguam




KUALA LUMPUR - Sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap peguam dan adiknya berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang mana kesemuanya berkaitan dengan kes penipuan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar).
Menteri Dalam Negeri itu memberitahu Persidangan Dewan Rakyat semalam, bahawa kesemua laporan yang dibuat di Balai Polis Banting, masing-masing bertarikh 19 Ogos 2005, 20 Oktober 2005, 20 Februari 2009, 18 Mac 2010, 13 dan 14 September 2010.
Beliau berkata, daripada enam laporan itu, dua kes telah selesai disiasat.
"Satu telah ditutup berikutan tindakan pengadu menarik semula laporannya dan tiga lagi masih dalam siasatan polis," katanya menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di sini bersekali dengan soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Sosilawati, 47, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya, Kamarudin Shansudin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Hishammuddin berkata, tidak timbul persoalan bahawa polis tidak menjalankan siasatan ke atas laporan-laporan yang dibuat terhadap mereka dan menegaskan bahawa tiada laporan orang hilang dikaitkan dengan peguam dan adiknya sebelum ini.

No comments:

Post a Comment