Thursday, October 21, 2010

Kastam kehilangan RM185 juta, mansuh cukai 300 barangan


PUTRAJAYA 20 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal kehilangan pendapatan hasil kutipan cukai sebanyak RM185 juta tahun depan ekoran keputusan kerajaan memansuhkan cukai untuk produk berkaitan pelancongan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, kesan daripada pemansuhan cukai tersebut bagaimanapun akan tetap memberi pulangan lumayan kepada JKDM ekoran pengumuman kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dalam Pembentangan Bajet 2011, minggu lepas.
Beliau optimis, pemansuhan cukai kira-kira 300 produk pelancongan itu akan meningkatkan lagi kemasukan pelancong asing ke Malaysia kerana negara ini sememangnya sudah dikenali sebagai lokasi syurga membeli-belah.
”Pelancong akan terus berkunjung ke sini dan mereka akan berbelanja besar untuk membeli barang-barang yang diminati tanpa dikenakan cukai.
”Seterusnya, industri pelancongan dan pengangkutan akan mendapat manfaat pula apabila hotel dan restoran penuh, mereka (pelancong) akan bayar cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dan hasilnya kepada kerajaan juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan khas bersama kepimpinan tertinggi JKDM serta penyerahan watikah pelantikan pengarah kastam ibu pejabat dan negeri.
Mohamed Khalid berkata, peningkatan satu peratus cukai perkhidmatan dan caj cukai perkhidmatan untuk pakej-pakej filem di stesen penyiaran berbayar dijangka dapat menjana hasil lebih besar daripada jangkaan pengurangan kutipan RM185 juta.
”Jadi kita yakin bajet yang kita anggap mesra rakyat ini tetap mampu membantu jabatan ini mencapai kutipan hasil lebih RM28 bilion tahun depan,” katanya.
Beliau menambah, dari aspek penguatkuasaan pula JKDM mencatat kejayaan amat memberansangkan sejak tiga tahun lalu apabila hasil rampasan terus meningkat dari tahun ke tahun.

No comments:

Post a Comment