Thursday, October 21, 2010

“Tengku Razaleigh tidak sesuai bersama UMNO”



SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dinasihatkan supaya keluar dari perjuangan sempit perkauman yang telah ’membulinya’ selama ini dan menghabiskan sisa usianya bersama-sama perjuangan Islam. 

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, individu yang mempunyai integriti seperti Tengku Razaleigh tidak sesuai duduk di dalam UMNO kerana ia tidak memberi sebarang nilai kepada parti itu. 

“Sikap UMNO terhadap Ku Li umpama kera mendapat bunga. Bertahun-tahun dihina oleh UMNO, apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tiba-tiba kosong, UMNO bagaikan pungguk rindukan bulan menanti Ku Li pulang daripada bercuti di luar negara. 

“Berpuluh-puluh orang berpura-pura menanti kepulangan Ku Li di KLIA. Kalaulah DUN Galas terletak di Kota Baharu, sudah tentu nama Ku Li sudah tenggelam bersama gua dan musang-musangnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada: Sinar Harian:, semalam. 

Beliau berkata, suatu ketika dulu, nama Tengku Razaleigh tidak dihiraukan oleh UMNO ketika Pilihan Raya Kecil Manik Urai dalam Parlimen Kuala Krai bersebelahan Gua Musang. 

“UMNO jelas tersepit di Galas. Jika tidak mendapat kerjasama daripada Ku Li maka UMNO akan menerima padah. Pilihan UMNO hanya satu sahaja, melantik Ku Li sebagai Pengarah PRK DUN Galas dan sekali gus menjadi calon. 

“Saya menjangkakan bantuan Ku Li kepada UMNO di Galas kelak umpama menolong anjing tersepit. Jika UMNO dapat menawan Galas, maka nama Najib lah yang akan disanjung. Sebaliknya jika UMNO kalah di Galas maka nama Ku Li yang akan dipersalahkan. Itulah hukum rimba yang ada dalam UMNO yang sudah busuk sampai ke usus,” katanya. 

Suhaizan berkata, integriti yang ada pada Tengku Razaleighakan dihargai dalam Pas dan Pakatan Rakyat (PR) serta mengalu-alukan penyertaan veteran politik itu bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat dan agama Islam. 

“Kalaulah Ku Li boleh bersama Tun Musa Hitam, rakan karib kelab malam semasa zaman mudanya, mengapa tidak boleh bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan rakan-rakan lain dalam memperjuangkan royalti minyak di Kelantan?: 

“Sudah tiba masanya Ku Li keluar daripada kepompong sedia ada. Membuat perubahan besar dengan penuh keberanian sebagaimana beraninya beliau mengepalai sebuah GLC sebesar Petronas ketika usia mudanya dulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment