Tuesday, November 23, 2010

Ahli PKR perlu kembali kepada Pengisytiharan Permatang Pauh: Azmin




KUALA LUMPUR - Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di saran memperkasakan semula parti dengan menghayati dokumen penting yang dinamakan `Pengisytiharan Permatang Pauh’ dilancarkan pada 1998 yang menjadi asas perjuangan kepada PKR. 

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, ia juga bertujuan mengilap semula perjuangan parti dan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 yang bakal menjelang tidak lama lagi. 

Menurutnya, ahli parti seharusnya balik semula kepada kandungan dokumen yang dilancarkan 12 tahun lalu, ia merangkumi asas perjuangan parti yang menjadi panduan untuk bergerak kerana dilihat ia seperti mula dilupai. 

“Oleh itu saya menyeru kepada semua ahli agar kembali kepada dokumen ini, hayatinya dan berpegang kepada prinsip yang berkenaan. Saya juga ingin mengajak ahli bersama pemimpin memupuk kesetiaan dalam parti. 

“Kita perlu ingat setiap perjuangan perlukan prinsip kesetiaan terutama perjuangan untuk rakyat, maka kita seharusnya memastikan tiada pengkhianat dalam parti yang kita perjuangan, bagaimana kita bermula dari bawah sehingga berjaya ke tahap sekarang,” katanya. 

Azmin berkata, sekiranya sesebuah parti itu mempunyai pemimpin yang khianat ia bukan sahaja mencemar parti, tetapi sebaliknya boleh menyebabkan ia musnah, di mana ia boleh dilihat di negeri Perak apabila kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) runtuh akibat kesetiaan. 

Katanya, beliau yakin ahli mahukan pemimpin yang diuji dan teruji serta setia bagi meneruskan perjuangan parti. 

“Satu kem latihan membabitkan pemimpin dan ahli parti akan diadakan bagi memahami prinsip kesetiaan dan idealisme parti, malah pemilihan parti diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan PKR kerana kita perlukan organisasi yang mantap,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak. 

Sementara itu bila ditanya berhubung tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang ingin menubuhkan parti baru beliau berkata; tindakan yang dilakukan oleh beliau (Zaid) tidak menjejaskan dan peluang untuk berjaya dengan parti baru tipis.

“Saya ingin mengucapkan kepadanya `semoga berjaya’ dengan penubuhan itu, saya tidak pasti sama ada beliau boleh berjaya atau tidak. Malah beliau tiada sikap rendah diri dan semangat berpasukan dalam parti. 

“Walaupun kepimpinan parti memberikan beliau jawatan tertinggi sejak beliau menyertai PKR, tetapi sikapnya tetap begitu tidak berubah,” katanya.

No comments:

Post a Comment