Tuesday, November 23, 2010

Sinar di Masjid At-Taqwa






Pemandangan dari luar Masjid At-Taqwa di Kampung Paroi, Seremban.


SEREMBAN 22 Nov. - Umat Islam di negeri ini wajar bersyukur apabila terbinanya sebuah masjid moden yang mampu memuatkan 3,000 jemaah pada satu masa.
Masjid At-Taqwa, Kampung Baru Paroi dekat sini juga merupakan masjid tiga tingkat yang pertama dibina seumpama itu di negeri ini dengan ciri dalamannya mesra jemaah sekali gus berperanan besar sebagai pusat keagamaan yang sarat dengan aktiviti.
Masjid yang dibina dengan kos RM7.4 juta itu mula dibina sejak tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada 15 Oktober lalu sebelum digunakan secara rasmi pada solat Maghrib, 15 November lalu dengan dirasmikan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Penggunaan dan izin mengerjakan solat termasuklah solat Jumaat di masjid berkenaan diisytiharkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Yusuf Ahmad baru-baru ini.
Dengan ciri pembinaan yang moden serta ruang dalam lebih selesa, Masjid At-Taqwa kini menjadi satu lagi mercu tanda dan kebanggaan umat Islam di negeri ini terutama jemaah di sekitarnya serta mereka yang melalui jalan Seremban-Paroi-Kuala Pilah.
Masjid yang mempunyai keluasan tanah kira-kira 1.4 hektar dan keluasan lantai 2,890 meter persegi, menjadikan ia masjid terbesar di negeri ini.
Apa yang lebih menarik, masjid itu turut menyediakan pelbagai kemudahan moden termasuk perpustakaan, bilik komputer dan tempat mengambil wuduk bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
Turut disediakan adalah dewan seminar yang dilengkapi peralatan elektronik moden, bilik mesyuarat, pejabat, ruang untuk aktiviti masyarakat dan kawasan letak kereta yang luas.
Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, dengan terbinanya masjid moden itu maka peranan menyiarkan dakwah perlu lebih agresif sekali gus menjadikan Islam, agama yang dihormati semua.
''Masjid hendaklah dijadikan pusat harian masyarakat, bukan sekadar tempat bersembahyang atau melakukan ibadah lain tetapi hendaklah menjadi pusat komuniti dengan program yang dianjurkan secara berterusan.
''Ini termasuklah menarik minat golongan muda untuk datang ke masjid, melakukan aktiviti keagamaan serta kelas-kelas pengajian yang boleh dimanfaat seluruh umat Islam.
''Memang masjid ini moden, tiga tingkat dan serba baru. Walaupun di luar ia kelihatan gagah, pengisian dalamannya juga hendaklah segagah bangunan ini," katanya di sini baru-baru ini.
Mohamad juga mahu melihat peranan besar masjid, di mana ia merupakan sebuah institusi yang mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan.
''Pada masa ini semakin banyak masjid yang memperluaskan fungsinya sebagai tempat memberi manfaat kepada komuniti setempat, bermula dari Nazir, Imam dan ahli jawatankuasanya sehinggalah ahli jemaah masjid, semuanya memberi sumbangan kepada tahap kemakmuran dan pengimarahan masjid," ujarnya.
Justeru dalam skop lebih besar, masjid juga katanya, hendaklah menjadi pusat pendidikan yang tidak hanya tertumpu pada soal kuliah mahupun pengajaran takmir semata-mata tetapi juga menjadi tempat pendidikan prasekolah anak-anak.
''Pihak pengurusan masjid yang bagus akan sentiasa menganjurkan aktiviti ilmiah di masjid, tidak kira harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan," katanya.
Pada masa yang sama juga, Mohamad mahu melihat masjid menjadi satu kawasan pusat ekonomi, di mana boleh diwujudkan satu koperasi masjid yang menjual produk makanan kering dan barangan runcit.
''Ini dapat meningkatkan pendapatan umat Islam serta menjana dana bagi pihak pengurusan masjid dalam menganjurkan aktiviti dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam pada itu, orang ramai juga mahu melihat peranan masjid diperluaskan sehinggalah diadakan majlis kenduri sama ada berkaitan perkahwinan, doa selamat, tahlil dan sebagainya agar ia dapat mengeratkan hubungan sesama ummah.
Apa yang penting, golongan belia diajak bersama mengimarahkan masjid dan kanak-kanak pula disediakan ruang lebih sempurna dengan aktiviti khusus untuk mereka supaya kehadiran di masjid menjadi satu keseronokan yang kekal abadi.

2 comments: