Thursday, November 25, 2010

Cari waris

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat mencari waris seorang bayi lelaki berusia sebulan, Faiz Farhan Abdullah dan seorang kanak-kanak perempuan, Sabrina Izzati Putri Annis Rohaizad, 7.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Noor Adelin Nordin, berkata Faiz yang dilahirkan di Hospital Ampang pada 24 Oktober lalu ditinggalkan ibunya yang hanya dikenali sebagai Fitriyati ketika berusia dua hari.

Katanya, wanita berkenaan pernah menelefon pihak hospital meminta anaknya diserahkan kepada individu lain untuk dijadikan anak angkat.

“Bagaimanapun, apabila pihak hospital menelefon semula nombor digunakan Fitriyati, ia gagal dihubungi sehingga kini.

“JKM mendapat perintah daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Ampang, jika tiada waris menuntut Faiz sehingga 8 Disember ini, dia akan diserahkan kepada keluarga angkat,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Noor Adelin berkata, Sabrina dihantar ke Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Cheras oleh ibunya, Azlina Mohd Ismail, 38, tiga tahun lalu.

“Sehingga kini, Azlina tidak pernah datang melawat Sabrina, malah usaha menjejakinya gagal. Sekiranya waris Sabrina tidak datang menuntut dalam waktu terdekat, JKM bercadang menyerahkannya kepada keluarga angkat,” katanya.

Waris bayi dan kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Noor Adelin di talian 03-87378007 atau 016-6666376.

No comments:

Post a Comment