Thursday, November 25, 2010

Nik Aziz dukacita




KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dukacita dengan keadaan masyarakat di negara ini yang masih bersikap curiga-mencurigai di antara satu kaum dengan yang lain walaupun sudah 53 tahun merdeka. 

Menurutnya, pendekatan yang dibuat Kerajaan Pusat terbukti gagal merapatkan jurang antara kaum di negara ini, walaupun banyak menghabiskan masa dan wang mengadakan pelbagai program. 

“Saya, sebagai ketua kerajaan (Kelantan) terfikir macam mana nak merapatkan bangsa di negara ini yang dicurigai pihak tertentu. 

"Saya dukacita dengan sikap curiga mencurigai antara bangsa kerana Islam itu adalah agama antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas melawat Ekspo Cheng Ho, di sini, semalam. 

Dalam lawatan hampir dua jam itu, Nik Abdul Aziz, yang ditemani isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, dipertontonkan dengan aksi ahli akrobatik terkenal, Adili, merentasi tali serta persembahan Kung Fu Shaolin. 

Nik Abduul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, usaha Kerajaan Negeri menganjurkan Ekspo Cheng Ho adalah inisiatif untuk merapatkan semua bangsa yang ada di dunia, khususnya masyarakat Islam. 

“Kami melihat (di ekspo) begitu banyak bangsa Melayu Islam dan Cina disatukan, Cina Muslim rapat sebagai agama, yang tidak Islam rapat sebagai manusia. Sebelum ini, kita termakan umpan daripada orientalis dan Eropah yang mahu pecahkan Melayu. Mereka mengamalkan prinsip pecah dan perintah,” katanya. 

Menurutnya, Ekspo Cheng Ho membuktikan Kerajaan Negeri berjaya menganjurkan program bersifat hiburan dan pendidikan tanpa menggunakan unsur melalaikan seperti memanipulasikan perempuan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment