Thursday, November 25, 2010

Surat terbuka kes mata Anwar lebam disiasat


Oleh Azman Zakaria dan S Anand Kumar

2010/11/25

Dua menteri diarah dapatkan penjelasan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mendapatkan penjelasan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung insiden mata lebam membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. 

Nazri berkata, perkembangan itu ekoran daripada surat terbuka yang ditulis oleh seorang bekas pegawai kanan polis, Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada 22 November lalu.“Dua Jumaat lalu (12 November), saya membangkitkan perkara ini pada mesyuarat Jemaah Menteri dan Kabinet mengarahkan saya bersama beliau (Rais) untuk menemui Abdul Gani dan bercakap dengannya berhubung surat terbuka itu.
“Kami kini menunggu kepulangan Abdul Gani dari Makkah, kita mahu mendengar sendiri daripada Peguam Negara kerana ini satu perkara serius,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam. 

Dalam surat terbukanya kepada Ismail, Mat Zain yang merujuk usul potong gaji Peguam Negara RM10 dibawa Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sidang Dewan Rakyat, 9 November lalu, mengesahkan beliau menghantar e-mel kepada Penasihat DAP itu pada 14 April lalu. 

“Selepas meneliti teks (usul) berkenaan sepenuhnya, saya mengesahkan menghantar e-mel kepada Lim pada 14 April lalu yang beliau sebut itu, sebagai membalas atau membetulkan komen beliau terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan siasatan kes 'mata-lebam' yang sedikit tersasar. 

“Saya turut mengesahkan kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15 April (2009) kepada Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan surat terbuka kepada Datin Kalsom Taib (isteri bekas Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahaya) bertarikh 8 Oktober (2010) surat terbuka pertama yang salinannya saya e-mel kepada Tan Sri adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan asal surat berkenaan. 
“Saya akan merujuk kepada kandungan surat itu apabila atau jika berkenaan. Saya mendapat tahu menerusi media bahawa Nazri akan membawa isu itu pada mesyuarat Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 12 November lalu. 

“Beliau (Nazri) turut mengumumkan bahawa penjelasan akan diminta daripada Abdul Gani sebagai memberinya peluang untuk menjelaskan dirinya yang adalah hak beliau kepada pendengaran yang adil,” kata Mat Zain. 

Dalam surat terbuka itu, Mat Zain turut menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci insiden itu bagi mempertahankan imej dan kredibiliti PDRM. 

Pada Julai 2008, Anwar membuat laporan polis dengan mendakwa Abdul Gani dan Tan Sri Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara) melakukan penyalahgunaan kuasa dalam siasatan kes dakwaan beliau dipukul oleh Tan Sri Rahim Nor (bekas Ketua Polis Negara). 

Nazri berkata, beliau dan Rais perlu menemui Abdul Gani berhubung surat terbuka Mat Zain itu sebelum membuat keputusan. 

No comments:

Post a Comment