Wednesday, November 10, 2010

Hukuman mati tetap diteruskan


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kerajaan belum bercadang memansuhkan hukuman mati terhadap pesalah jenayah tertentu di negara ini kerana langkah itu akan memberi impak besar kepada sistem perundangan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagaimanapun berkata, kerajaan menyambut baik cadangan oleh pihak-pihak berkenaan supaya hukuman mati dimansuhkan.
"Cadangan tersebut akan diberi pertimbangan yang sewajarnya setelah kajian menyeluruh dan penelitian rapi dibuat daripada pelbagai aspek dan juga setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang mahu tahu sama ada kerajaan bersedia meminda semua undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati dengan alternatif hukuman penjara seumur hidup.
Mohamed Nazri berkata, pindaan yang sewajarnya juga perlu dibuat terhadap undang-undang jenayah tertentu sekiranya hukuman mati dimansuhkan.
Katanya, kerangka perundangan negara yang mengekalkan hukuman mati hanya dalam kes jenayah serius dan berat adalah selaras dengan prinsip undang-undang hak asasi antarabangsa.
Menurutnya, pelaksanaan hukuman mati mandatori di Malaysia tertakluk kepada perlindungan tertentu seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
"Hak untuk merayu kepada mahkamah lebih tinggi dan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan juga dijamin oleh undang-undang," katanya.
Jelasnya, pelaksanaan hukuman mati di negara ini tidak dilaksanakan ke atas wanita mengandung, individu hilang akal dan individu berusia di bawah 18 tahun semasa perlakuan jenayah tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

No comments:

Post a Comment