Wednesday, November 10, 2010

Mohd. Asri nafi diperguna Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menafikan dirinya dipergunakan oleh Utusan Malaysia untuk mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada dunia politik.
Beliau menegaskan, Utusan Malaysia hanya memetik daripada blog beliau dan wartawan akhbar itu juga tidak berhubung secara langsung dengannya, tidak seperti The Malaysian Insider dan Malaysiakini yang turut menyiarkan kenyataan sama dengan mendapatkan kenyataan secara langsung daripadanya.
"Seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik daripada blog saya. Mereka tidak mengambil kenyataan ini daripada mulut saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak 'garang'.
"Bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakinimendapatkannya secara langsung daripada saya. Maka, tiada perancangan antara saya danUtusan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk Surat Terbuka Untuk Yang Berhormat DSAI dalam blognya http://drmaza.com di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hari ini yang mendakwa terdapat kempen bersepadu di Utusan Malaysia menggunakan Mohd. Asri dan lidah pengarang akhbar itu serta terbaru desakan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Datuk Zaid Ibrahim supaya beliau meletakkan jawatan.
Mohd. Asri yang menyifatkan dakwaan Anwar bahawa beliau dipergunakan oleh akhbar ini sebagai 'agak berat' menjelaskan, cadangannya supaya Ketua Pembangkang itu bersara daripada dunia politik adalah berdasarkan kepada pemerhatian, kajian umum dan gerak hati beliau.
"Pada awalnya moderator blog saya, Minda Tajdid sendiri pun risau. Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.
"Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar," tegasnya sambil memberitahu beliau tidak pernah memusuhi Anwar secara peribadi bahkan bersimpati dengan keadaannya sekarang.
Dalam perkembangan berkaitan, jelasnya, beliau sendiri tidak tahu bahawa Zaid dan seorang lagi calon jawatan Timbalan Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar.
"Hal ini berlaku selepas beberapa hari kenyataan saya (keluar). Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka," katanya.
Tambah beliau, kenyataannya sebelum ini berkaitan Anwar dibuat berasaskan kepada banyak faktor termasuk kemampuan seseorang ahli politik mengendalikan rakyat bawahan dan kemampuannya mempengaruhi mereka tentang idea yang dibawa.
"Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Pandangan saya ini hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi. Justeru, sebagai saudara muslim, saya sekali lagi seperti kenyataan awal pohon kemaafan atas pandangan tersebut.
"Namun, saya masih mempercayai pandangan ini ada kebenarannya, melainkan Allah mendatangkan hal yang sebaliknya. Dia maha mengetahui segalanya," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment