Friday, January 7, 2011

Belum selesai


TAK CERIA: Khalid (kiri) kelihatan serius sebelum Khusrin mengangkat Sumpah Taat Setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam. - Foto Rosdan Wahid
TAK CERIA: Khalid (kiri) kelihatan serius sebelum Khusrin mengangkat Sumpah Taat Setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam. - Foto Rosdan Wahid



Kehadiran kami tak bermakna kerajaan negeri rela dengan tindakan SPA: Khalid

SHAH ALAM: Isu berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) belum berakhir, meskipun Datuk Mohd Khusrin Munawi semalam mengangkat Sumpah Taat Setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan di sini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut menyaksikan istiadat angkat sumpah itu bersama barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), menegaskan isu pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK yang baru belum muktamad dan masih memerlukan penyelesaian.

“Kehadiran kami di sini tidak bermakna kerajaan negeri rela dengan tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terhadap pentadbiran Selangor.
“Kehadiran seluruh EXCO ini sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita di luar Bilik Singgahsana ketika istiadat mengangkat sumpah itu sedang berlangsung.

Dalam kenyataan itu, Abdul Khalid menegaskan pihaknya sudah menghantar surat kepada SPA bagi menyuarakan rasa terkilan kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan.

“Kerajaan negeri memohon untuk mengadakan proses perbincangan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai. Pentadbiran negeri juga sudah memaklumkan kepada Sultan Selangor beberapa perkara termasuk cadangan memulakan proses penyelesaian dengan SPA,” katanya.

Beliau berkata, baginda sudah dimaklumkan mengenai cadangan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif di Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, petang semalam pula, Abdul Khalid mengakui pelantikan Mohd Khusrin sah di sisi undang-undang.

“Jika mengikut undang-undang, pelantikan beliau (Khusrin) adalah sah kerana ia membenarkan. Bagaimanapun, kita tetap tidak akan memanggil beliau untuk mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar kerana kita mahu mendapat keputusan daripada dewan terlebih dulu.

“Saya pada tengah hari tadi (semalam) sudah menulis surat kepada Speaker DUN untuk mengadakan sidang dewan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara terbabit,” katanya.

Abdul Khalid berkata, tindakan memanggil sidang DUN diadakan bertujuan memperbetulkan apa yang sudah dipinda pada 1993 oleh kerajaan terdahulu dan Kerajaan Pusat bagi mengembalikan semula kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar untuk melantik tiga jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Memang kita sudah bagi kerjasama, malah tindakan menghadiri majlis angkat sumpah pagi tadi (semalam) juga adalah kerjasama. Tetapi ini membabitkan soal pengurusan dan saya juga hendak memberitahu kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), jika beliau membuat perkara ini dengan betul, perkara ini tidak akan terjadi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khusrin, 54, yang ditemui media selepas istiadat mengangkat sumpah enggan mengulas lanjut mengenai pelantikannya termasuk pendirian kerajaan negeri yang menganggap isu itu belum muktamad.

Bekas SUK, Datuk Ramli Mahmud pula meminta semua pihak memberi Mohd Khusrin peluang untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Saya minta semua pihak beri beliau peluang kerana saya yakin Mohd Khusrin mampu memikul tugas yang diberikan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Abdul Khalid kelihatan bersalaman dengan Mohd Khusrin, 54, sebelum istiadat mengangkat sumpah bermula pada jam 10.30 pagi.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datuk Setia kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut mengangkat Sumpah Taat Setia ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang baru, Marzuki Hussin.

Bekas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud pula dilantik sebagai Ahli Dewan Diraja manakala bekas Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga bekas Orang Besar Daerah Petaling Datuk Seri Indah Dijaja, Abu Bakar Abdul Hamid, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor, Puan Sri Thamayanthi Dewi Ampikaipakan menerima Jaksa Pendamai (JP).

Khusrin, Marzuki, Ramli dan tiga penerima JP menandatangani watikah pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Mohtaruddin Baki selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Mohd Khusrin turut dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah, manakala Norhuda Roslan sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah negeri.

No comments:

Post a Comment