Friday, January 7, 2011

Penipuan RM5.2j

SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif akaun sebuah bank di Seksyen 14 di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas lapan pertuduhan memalsukan dokumen bagi memindahkan wang menerusi transaksi Internet membabitkan nilai RM5.2 juta, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Yusma Norul Yusob, 31, dari Taman Sri Mentari, Petaling Jaya yang menangis teresak-esak sejak dibawa masuk ke kandang pesalah, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita yang sudah berkahwin itu didakwa menggunakan cek CIMB Bank Berhad palsu bernilai RM30,000 bertarikh 31 Mac 2009 pada 1 April 2009.

Tertuduh didakwa menggunakan dua lagi cek palsu bank sama bertarikh 1 dan 2 April 2009, masing-masing bernilai RM10,000 dan RM18,5000 pada keesokan harinya.


Bagi lima pertuduhan lain, dia didakwa menggunakan borang permohonan kiriman wang pada 1, 7, 15, 21 dan 24 April 2009.


Wanita itu didakwa melakukan semua perbuatan itu tempatnya bertugas di CIMB Bank Berhad cawangan Menara MRCB di Seksyen 14.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Lavainyamalar menawarkan ikat jamin RM1 juta terhadapnya memandangkan kesalahan itu serius dan jawatan dipegang tertuduh ketika di bank ketika melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun, peguam bela mewakili tertuduh, Saleh Ahmad, memohon ikat jamin itu dikurangkan memandangkan anak guamnya langsung tidak mendapat faedah daripada nilai RM5.2 juta itu.

“Pertuduhan adalah transaksi Internet tetapi wang itu tidak pernah diperoleh tertuduh,” katanya.

Beliau berkata, jumlah RM1 juta adalah terlalu besar memandangkan wanita itu tidak berkerja manakala ibu bapanya melakukan kerja kampung sebagai sumber pendapatan.

Wan Mohd Norisham membenarkan ikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 19 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

No comments:

Post a Comment