Friday, January 7, 2011

Dr M: Tak perlu p'raya umum awal - Malaysiakini

Dr M: Tak perlu p'raya umum awal - Malaysiakini
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pilihan Raya Umum ke-13 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat, meskipun wujud pelbagai isu politik yang hangat pada tahun lepas.


"Sama ada pilihan raya umum perlu diadakan dalam masa terdekat, ataupun tidak, masalah seperti ini (isu politik panas) akan tetap timbul juga.


"Adakah kerajaan bersedia mengadakan pilihan raya umum lebih awal (dalam senario politik sekarang)," katanya ketika ditanya sama ada pelbagai isu hangat yang melanda negara tahun lepas dan awal tahun ini menjadi petunjuk bagi pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam hari ini.


Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptama, Dr Mahathir berkata semangat perpaduan Melayu menentang Malayan Union pada 1940-an perlu dibangkitkan semula dalam senario politik semasa.


Beliau berkata pada ketika itu, semua orang Melayu, tanpa mengira kedudukan dan ideologi politik, telah bersatu menentang gagasan tersebut yang akhirnya menjadi perintis kepada kemerdekaan Tanah Melayu.


"Orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, perlu kembali berpegang kepada semangat perpaduan tulen seperti mana berlaku sewaktu menentang gagasan Malayan Union tajaan British pada tahun 1940-an," katanya.


Mengulas cadangan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, Dr Mahathir berkata walaupun ia membenarkan orang Melayu menjadi perdana menteri dan kaum lain dilantik sebagai timbalannya, namun orang Melayu akan tetap terpinggir.


Beliau berkata ini kerana mereka akan memberi keutamaan kepada merit dan sudah pasti kaum lain akan muncul sebagai yang terbaik, dan akhirnya orang Melayu akan menjadi seperti di Singapura iaitu terpinggir serta ditindas.


"Bukan mahu mengatakan orang Melayu ini tidak berkeupayaan, tetapi kalau nak lihat orang Melayu kita jadi macam di Singapura, undilah parti lawan," katanya sinis.


- Bernama

No comments:

Post a Comment