Monday, January 17, 2011

Polis pulih semula keamanan di Tunis



TUNIS - Polis semalam menahan berpuluh-puluh suspek yang melepaskan tembakan secara rambang dalam usaha untuk memulihkan keamanan di Tunisia selepas beberapa minggu protes jalanan dilakukan penunjuk perasaan.
Pemulihan keamanan itu dibuat selepas Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan sebagai Presiden pada Jumaat lalu dan melarikan diri ke Arab Saudi.
Beliau dikatakan berada di bandar Abha, selatan Jeddah.
Berpuluh-puluh orang terbunuh sejak sebulan lalu akibat pertempuran di antara polis dan penunjuk perasaan mengenai penindasan serta dakwaan rasuah yang dilakukan pentadbiran Zine.
Sekumpulan 200 orang di tengah Tunis bersorak kegembiraan semalam selepas beberapa anggota polis menangkap seorang pemandu ambulans kerana disyaki menjadi dalang kejadian tembakan.
"Penjenayah menggunakan ambulans untuk melepaskan tembakan," kata seorang anggota polis.
Beberapa pegawai polis menyatakan, lebih 50 orang ditangkap sejak Sabtu lalu kerana disyaki menggunakan ambulans, kereta sewa dan kenderaan perkhidmatan perlindungan awam untuk melepaskan tembakan.
Beberapa buah kereta kebal milik tentera turut ditempatkan di Tunis bagi mengawal keamanan.
Kelmarin, sebuah penjara dibakar di Moastir yang menyebabkan 42 orang terbunuh.
Kejatuhan Zine yang pernah merampas kuasa pada 1987 untuk menjadi presiden berlaku semasa kadar pengangguran berada pada paras 14 peratus dan kebebasan bersuara disekat.
Selepas peletakan jawatan presiden itu, bisnes milik keluarga Zine El menjadi sasaran sekumpulan pencuri.
Keluarga isteri Zine, Leila Trabelsi mempunyai kepentingan dalam beberapa bidang perniagaan daripada perbankan sehingga pengedaran kereta.
Sebuah cawangan bank Zeitouna di Tunis yang ditubuhkan oleh menantu Zine dibakar termasuk kereta Fiat, Porsche dan kenderaan buatan Kia kerana ia diedarkan oleh keluarga bekas presiden itu.
Speaker Parlimen Tunisia, Fouad Mebazza kini menjadi presiden sementara dan beliau meminta Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi untuk membentuk sebuah pentadbiran melibatkan beberapa buah parti politik. - Agensi

No comments:

Post a Comment