Monday, January 17, 2011

Tunisia bentuk kerajaan baru



TUNIS 16 Jan. - Kepimpinan baru Tunisia mahu membentuk satu kerajaan campuran yang bersatu bagi usaha menangani kegiatan pencerobohan bangunan, perbuatan membakar dan tembakan yang berlaku selepas Presiden Zine al-Abidine Ben Ali digulingkan.
Speaker Parlimen, Fouad Mebazza yang mengangkat sumpah sebagai Presiden sementara semalam, meminta Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi supaya membentuk satu kerajaan bersatu bagi membentuk perpaduan negara.
Pihak berkuasa Perlembagaan berkata, pilihan raya Presiden perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pemimpin pembangkang, Najib Chebbi berkata, selepas perbincangan diadakan dengan Ghannouchi, pilihan raya mungkin diadakan di bawah pemantauan antarabangsa dalam tempoh enam atau tujuh bulan lagi.
''Ghannouchi mencadangkan parti kami menyertai pembentukan kerajaan campuran yang akan membuka kepada satu pasukan demokratik yang membawa maksud parti kami dan dua parti lain,'' katanya kepada radio French RTL.
Ghannouchi dijangka mengadakan lebih banyak perbincangan berhubung pembentukan kerajaan campuran, hari ini.
Askar dan kereta kebal ditempatkan di tengah bandar Tunis bagi mengawal kegiatan menceroboh bangunan apabila Ben Ali yang memerintah lebih 23 tahun, melarikan diri ke Arab Saudi ekoran rusuhan antikerajaan yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa.
Tembakan rambang juga telah dilepaskan ke arah kereta-kereta di Tunis semalam dan banduan melarikan diri daripada penjara ketika para pemimpin cuba menghalang Tunisia terjerumus dalam suasana kelam-kabut selepas penggulingan berkenaan.
Tidak dapat dipastikan siapakah yang melepaskan tembakan itu tetapi sumber kanan tentera memberitahu Reuters bahawa orang yang mempunyai kaitan dengan Ben Ali mendalangi kejadian tersebut.
Penggulingan Presiden Tunisia selepas rusuhan mungkin memberikan keberanian kepada pergerakan pembangkang dan orang biasa Arab untuk bangun mencabar kerajaan-kerajaan di Asia Barat.
Perunding Keselamatan Janusian, Henry Wilkinson berkata, apa yang membimbangkan banyak kerajaan di rantau ini adalah krisis Tunisia itu berlaku secara spontan dan tidak tersusun. - Reuters

No comments:

Post a Comment