Tuesday, February 22, 2011

Gaddafi akan patahkan protes



Sebahagian penunjuk perasaan membuat kekacauan semasa mengadakan tunjuk perasaan di Marrakech salah sebuah bandar di Maghribi kelmarin bagi menuntut pelaksanaan demokrasi yang lebih luas di negara itu. – AP


TRIPOLI 21 Feb. – Anak lelaki Muammar Gaddafi, Seif al-Islam berkata, bapanya akan bertindak mematahkan segala protes di negara ini yang disifatkan sebagai ‘komplot didalangi oleh pihak asing’.
“Kita bukan Tunisia dan Mesir. Pemimpin kita, Muammar Gaddafi mengetuai perjuangan di Tripoli dan kita bersama-samanya (Gaddafi),” kata Seif dalam ucapan di televisyen kerajaan, semalam.
Seif yang sebelum ini dipaparkan sebagai tokoh pembaharuan dalam rejim Libya, mengisytiharkan bapanya masih berkuasa dengan mendapat sokongan tentera dan akan ‘berjuang sehingga ke lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir’.
Seif berkata demikian selepas protes antikerajaan merebak ke ibu negara Libya, Tripoli dan penunjuk perasaan menguasai pangkalan tentera dan merampas senjata.
Dalam kenyataan pertama rejim mengenai demonstrasi di Libya, yang masuk hari keenam semalam, Seif turut memberi amaran kepada penunjuk perasaan, mereka boleh mencetuskan perang saudara yang akan ‘membakar’ kekayaan minyak Libya.
Ucapan itu menyusul daripada tindakan keras pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan ke arah beribu-ribu penunjuk perasaan dan ke arah mereka yang berarak mengiringi jenazah di Benghazi, bandar raya kedua terbesar di Libya dalam siri keganasan yang meragut 60 nyawa dalam satu hari, semalam.
Sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh sejak kekacauan itu tercetus sejak seminggu lalu, kata pegawai perubatan, pertubuhan hak asasi manusia dan penentang kerajaan dalam buangan.
Tindak balas kerajaan Libya adalah yang paling keras di kalangan negara-negara Arab yang digegarkan oleh protes yang setakat ini telah menyebabkan pemimpin veteran di Tunisia dan Mesir digulingkan.
Dalam ucapannya, Seif mengakui tentera melakukan kesilapan semasa protes kerana askar tidak dilatih untuk menangani penunjuk perasaan, tetapi beliau mendakwa angka kematian telah dibesar-besarkan, dan katanya, hanya 84 orang terkorban sebenarnya.
Seif juga berkata, beliau akan mengemukakan usul pembaharuan dalam masa beberapa hari lagi sebagai satu ‘inisiatif kebangsaan yang bersejarah’. – AFP

No comments:

Post a Comment