Tuesday, February 22, 2011

Tunisia minta ekstradisi Ben Ali



TUNIS 21 Feb. - Kerajaan sementara Tunisia, semalam meminta Arab Saudi mengekstradisi bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali ke negara ini bagi menghadapi pelbagai tuduhan baru ke atasnya.
Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi mengemukakan permintaan rasmi itu kepada Riyadh, menurut satu kenyataan Kementerian Luar yang disiarkan oleh agensi berita TAP.
Permohonan itu dibuat 'selepas beberapa tuduhan baru dikemukakan terhadap bekas Presiden Tunisia itu berhubung pembabitannya dalam beberapa jenayah berat', katanya.
Kerajaan sementara juga meminta maklumat dari Riyadh mengenai keadaan kesihatan Ben Ali, 74, berikutan laporan minggu ini yang melaporkan bahawa beliau mengalami koma akibat tekanan dan kini dirawat di sebuah hospital di Jeddah.
Sementara itu, Ghannouchi turut menghadapi demonstrasi baru, semalam termasuk protes yang dihadiri oleh 4,000 orang di tengah Tunis, yang menuntut beliau meletakkan jawatan.
"Kami menentang kerajaan Ghannouchi kerana dengan beliau, revolusi kami tidak mendatangkan sebarang faedah.
"Tidak ada perubahan kerana kerajaan sekarang adalah pasukan Ben Ali," kata seorang guru, Samia Mahfoudh. - AFP

No comments:

Post a Comment