Tuesday, February 22, 2011

Presiden Yemen tolak desakan letak jawatan



SANAA 21 Feb. - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh, hari ini menolak tuntutan supaya beliau meletakkan jawatan, sebaliknya berikrar hanya kekalahan dalam pilihan raya akan memaksa beliau berundur.
Saleh menyifatkan protes meluas menentang rejimnya sebagai perbuatan provokasi yang tidak boleh diterima, meskipun beliau mengulangi seruan supaya rundingan diadakan dengan penunjuk perasaan.
"Jika mereka mahu saya meletakkan jawatan, saya akan berundur hanya dengan kekalahan di peti undi," kata Saleh pada satu sidang media di sini, sementara beribu-ribu penunjuk perasan termasuk ahli Parlimen pembangkang berhimpun di luar Universiti Sanaa untuk mendesak beliau berundur.
Selepas protes selama seminggu setengah yang telah meragut sembilan nyawa, Saleh berkata, beliau mengarahkan tentera menembak penunjuk perasaan 'hanya untuk mempertahankan diri'.
Saleh mendakwa mereka yang menentang kerajaannya tidak lebih daripada 200,000 orang berbanding kira-kira 25 juta penduduk Yemen.
Di BAHRAIN, penunjuk perasaan yang berkhemah di Dataran Mutiara, Manama hari ini menuntut sebuah kerajaan baru, dengan sokongan lebih 1,500 guru yang mogok sehingga memaksa banyak sekolah ditutup.
Di ALGERIA, Menteri Luarnya, Mourad Medelci berkata, protes antikerajaan yang menumbangkan Presiden di Tunisia dan Mesir tidak akan merebak ke Algeria sebagai sebahagian 'kesan domino' di seluruh Asia Barat. - AFP/AP/Reuters

No comments:

Post a Comment