Thursday, March 31, 2011

414,421 kes nahas jalan raya 2010


31/03/2011 7:17pm

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu sebanyak 414,421 kes kemalangan jalan raya yang membabitkan 6,872 kematian dilaporkan pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata berikutan kadar kemalangan dan kes kemalangan maut di negara ini yang terus meningkat, pelbagai langkah drastik diambil bagi mengatasi masalah ini.

"Antaranya meningkatkan kekerapan kempen kesedaran dan program berasaskan komuniti khususnya kepada kumpulan sasaran utama iaitu penunggang dan pembonceng motosikal yang merupakan golongan paling berisiko iaitu penyumbang kepada 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata kementerian juga meningkatkan kekerapan dan keberkesanan kempen media mengenai keselamatan jalan raya menerusi saluran perdana seperti saluran perdana menerusi media elektronik dan cetak serta rangkaian sosial Facebook dan youtube.

"Kita juga melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengurangkan kematian yang mempunyai kaitan dengan memandu terlalu laju yang menjadi 62.6 peratus daripada punca kematian.

Menurutnya, kementerian juga meningkatkan penyamaran di dalam bas, memperbanyak penguatkuasaan secara ”omni presence” melalui operasi bersepadu selain memastikan inisiatif lain bergerak selari secara berkesan.

"Ini termasuk pendekatan 5E iaitu pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, alam sekitar dan penilaian yang menjadi kunci Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2011-2020 bagi menangani masalah ini secara holistik dan komprehensif,” katanya. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

No comments:

Post a Comment