Monday, March 21, 2011

Sanggup mati demi Gaddafi


TRIPOLI: Beratus-ratus rakyat Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi berkumpul di depan ibu pejabatnya di Bab al-Aziziyah dan lapangan terbang antarabangsa ketika Perancis melancarkan serangan udara terhadap negara itu.
Sementara itu, 50 wartawan asing dibawa melawat Bab al-Aziziyah, di selatan Tripoli.

“Rakyat di sekitar kawasan itu menjadi sasaran Perancis,” lapor televisyen Libya, sambil menunjukkan gambar orang ramai mengibarkan bendera di depan pejabat Gaddafi dan lapangan terbang berkenaan.

Kira-kira 1,000 orang mengibar bendera hijau, simbol revolusi yang membawa Gaddafi ke puncak kuasa lebih empat dekad lalu juga memenuhi kawasan sekitar ibu pejabat pemimpin Libya itu.

Turut bersama mereka ialah anak perempuannya, Aisha yang menyertai orang ramai melaungkan slogan memuji bapanya.

Perhimpunan itu yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak mengekori kata-kata yang memuji Gaddafi.


Pekarangan ibu pejabat itu dikelilingi trak yang lengkap dengan meriam antipesawat.

Seorang anak angkat Gaddafi terbunuh pada 1986 apabila Amerika Syarikat mengebom Libya. Turut menjadi sasaran ketika itu ialah Bab al-Aziziyah.
Ketika penyokong Gaddafi itu berkumpul, Perancis melancarkan serangan udara, memulakan kempen antarabangsa untuk menghalang pemimpin Libya itu daripada menumpaskan kebangkitan yang bermula sebulan lalu.

“Ada 5,000 suku kaum yang bersedia untuk datang ke sini dan berjuang untuk Gaddafi. Lebih baik bagi Barat supaya tidak cuba menyerang negara kami,” kata Mahmoud el-Mansouri yang turut serta dalam perhimpunan itu. - Reuters
metro

No comments:

Post a Comment