Saturday, March 5, 2011

Ummi Hafilda 'bertemu' Anwar di Kerdau



KUALA KRAU 4 Mac - Kempen Barisan Nasional (BN) dan Pas di Felcra Rumpun Makmur dekat sini malam tadi berlangsung dalam suasana agak panas apabila dua 'seteru' iaitu Ummi Hafilda Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil di pentas ceramah yang terletak berdekatan.
Bahang bermula seawal pukul 8.30 malam lagi apabila kedua-dua markas parti itu memasang sistem pembesar suara dengan kuat.
Ia dihangatkan lagi dengan tindakan pengacara kedua-dua ceramah yang saling mencabar sambil disambut dengan sorakan penyokong masing-masing.
Jarak kedua-dua tempat ceramah itu kira-kira 50 meter dan hanya dipisahkan oleh sebatang jalan raya, menyebabkan suasana bertambah panas.
Ummi Hafilda yang merupakan saksi utama kes liwat Anwar sebelum ini, memulakan ceramah kira-kira pukul 10 malam manakala Ketua Pembangkang itu hanya berbuat demikian 15 minit kemudian kerana mempunyai acara lain sebelumnya.
Bunyi bingit daripada pembesar suara kedua-dua pihak bagaimanapun menyebabkan hadirin tidak dapat menumpukan perhatian kepada ceramah yang disampaikan.
Mungkin tidak selesa dengan keadaan itu, Anwar menamatkan ceramahnya kira-kira 20 minit kemudian.
Walaupun keadaan agak 'panas' dengan kedua-dua penyokong saling menyindir dan menjerit, namun tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Ummi Hafilda dalam ceramahnya berkata, dia akan mendedahkan lebih banyak rahsia Anwar kepada pengundi.
Dia juga mahu membersihkan nama baiknya yang dicalarkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.Utusan Malaysia Online - Pahang

No comments:

Post a Comment