Wednesday, April 6, 2011

Derita kepala membesar




KAMPUNG GAJAH - Usianya baru menjangkau tujuh bulan, namun terpaksa memikul penderitaan besar apabila dilahirkan tidak sesempurna bayi lain.

Hasyim Loqman, tidak seperti kanak-kanak seusianya apabila dilahirkan dengan masalah kepala besar dan mengalami sumbing.

Keadaan permata hati kepada Zuryati Nadzeri, 32, ini telah diketahui semasa berusia lapan bulan dalam kandungan.

Menurut Zuryati, mereka sekeluarga pasrah dengan takdir yang diciptakan untuk Hasyim, anak bongsu dari dua beradik itu.

“Ketika mengetahui keadaannya, saya hanya mampu pasrah dan menerima ketentuan yang diberikan dengan hati yang terbuka dan redha.

“Saya dan keluarga perlu menerima hakikat berkenaan walaupun agak perit untuk memikulnya namun bagi kami, Hasyim adalah anugerah tidak ternilai,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis perasmian bilik Multi Sensori dan Hari Terbuka orang kurang upaya (OKU) Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Gajah, di sini.

Ibarat berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah keadaan yang dijalani Zuryati dan suami dengan memberi sepenuh perhatian kepada Hasyim.

Zuryati berkata, untuk keperluan susu dan rawatan Hasyim ke hospital, mereka mempe�runtukkan lebih RM700 sebulan.

Menurutnya, mereka kini hanya mengharapkan pendapatan suami yang bekerja sebagai pembantu di sebuah hospital bagi menanggung kos sara hidup serta perubatan anaknya itu.

“Kami sentiasa lakukan yang terbaik untuknya, meskipun kadangkala mengalami kesempitan wang, apatah lagi tinggal di rumah sewa,” katanya.

Zuryati yang menetap di Taman Changkat Lada Raya Kampung Gajah mengakui mengharapkan bantuan mana-mana pihak terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan kos rawatan dan pengurusan anaknya itu.

“Harga susu untuk Hasyim sahaja sudah bernilai RM76.90 satu tin dan biasanya hanya bertahan dua minggu sahaja, jumlah itu belum lagi masuk perbelanjaan lain yang perlu disediakan menyebabkan kadang-kala keluarga kami agak tersepit,” katanya.

Beliau berkata, anak sulong keluarga berkenaan yang kini berusia empat tahun dilahirkan normal tanpa mengalami sebarang masalah kesihatan seperti Hasyim.
SH

No comments:

Post a Comment