Wednesday, April 6, 2011

Ibu hilang selepas dihalang kahwin


pix_gal0
13 beradik rayu Kamariah pulang segera

JOHOR BAHRU: "Pulanglah emak, kami semua tetap sayang dan sentiasa rindukan emak." Demikian harapan 13 beradik supaya ibu mereka kembali ke pangkuan keluarga selepas enam tahun menghilangkan diri kerana berkecil hati selepas dihalang daripada berkahwin dengan kenalan lama.
Luahan hati itu disampaikan suri rumah, Siti Hawa Jaafar, 39, yang mewakili adik beradiknya, mengharapkan ibu kandung mereka, Kamariah Ayub (atas), 60-an, kembali ke pangkuan keluarga dengan segera.
Siti Hawa berkata, emak mereka menghilangkan diri selepas keluar dari rumah abangnya di Prima Saujana, Kajang, selepas memberitahu hasrat untuk pulang ke rumah mereka di Johor Bahru, pada 2005.


“Sebelum itu, emak ada memaklumkan kepada adik beradik saya yang berkumpul di rumah abang mengenai hasratnya berkahwin dengan seorang lelaki yang juga kenalan lamanya ketika bekerja di Singapura.


"Sejurus mengetahui hasratnya untuk berkahwin dengan kenalannya yang kami kenali sebagai pak cik Man atau Man Balak itu, adik beradik saya membantah dan enggan menerimanya. Ketika itu pak cik Man turut hadir pada perjumpaan keluarga.


"Kami membantah cadangan lelaki terbabit mengahwini ibu kerana dia sudah beristeri," katanya di sini, semalam.
Siti Hawa berkata, berikutan bantahan itu, ibunya mengemaskan barang sebelum keluar bersama lelaki itu dengan alasan mahu kembali ke Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru.


Bagaimanapun, Kamariah yang ketika itu menaiki bas, tidak sampai di Johor Bahru seperti dijanjikan dan usaha anak menghubungi telefon bimbitnya tidak berjawab.


"Hari sama, emak ada menghubungi seorang adik lelaki saya memberitahu dia berkecil hati terhadap kami kerana membantah hasratnya berkahwin selepas kira-kira 10 tahun ayah meninggal dunia.


"Itulah panggilan telefon terakhir daripadanya, selepas itu hingga kini kami gagal menghubungi atau mengesan kedudukan emak.


"Walaupun apa pun keadaannya, kami tetap sayangkan emak kerana dialah ibu kami di dunia dan akhirat. Kami sentiasa berdoa agar dia terbuka hati untuk kembali ke pangkuan keluarga yang merinduinya," katanya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedudukan Kamariah diharap menghubungi Siti Hawa di talian 013-772 4643 atau adiknya, Khairul Nizam 017-824 8057. Berita Harian Online | Ibu hilang selepas dihalang kahwin

No comments:

Post a Comment