Wednesday, April 13, 2011

Ibu bantah jadi juruterbang


JENAZAH Sahaimi (gambar kecil) dibawa keluar dari rumah mayat Hospital Sibu untuk diterbangkan pulang ke Kota Bharu, Kelantan bagi  dikebumikan di kampung halamannya, semalam.
JENAZAH Sahaimi (gambar kecil) dibawa keluar dari rumah mayat Hospital Sibu untuk diterbangkan pulang ke Kota Bharu, Kelantan bagi dikebumikan di kampung halamannya, semalam.


Sahaimi ketepi cita-cita kemudi jet pejuang, sertai Unit Udara PDRM 
KOTA BHARU: Kapten Sahaimi Ghazali, 38, pernah bercita-cita untuk menjadi juruterbang jet pejuang tetapi impian beliau itu dibantah ibunya, Mek Som Mustafa atas alasan kerjaya itu berbahaya dan mahu Allahyarham mencari pekerjaan lain.Bagi menjaga hati ibunya, Sahaimi kemudian memilih kerjaya juruterbang Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapat restu bapanya, Ghazali Murad dengan menandatangani permohonan membenarkan mengikuti kursus penerbangan di Australia pada 2000.
Mek Som, 68, berkata, kali terakhir berjumpa Sahaimi bulan lalu ketika singgah menghantar seorang kenamaan ke Kelantan dan sempat bermalam di rumah. 


“Arwah selalu bermalam di rumah setiap kali singgah di sini, tidak pernah menginap di hotel dan setiap kali hendak kembali bertugas, saya selalu menasihatinya supaya berhati-hati. Ibu mana yang tidak risau setiap kali melihat anak berada di udara. 


“Saya mengetahui mengenai kematian arwah malam kelmarin dan reda dengan pemergiannya kerana Tuhan lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini, semalam. 


Sahaimi bertugas sebagai juruterbang helikopter Bell 206B Jet Ranger, Sabah Air Aviation terbunuh selepas terhempas di Dataran Sanyan, Sibu, Sarawak petang kelmarin selepas menurunkan pegawai Timbalan Perdana Menteri. 
Allahyarham yang parah bahagian rusuk kanan, meninggal dunia jam 8.36 malam kelmarin selepas menjalani pembedahan di Hospital Sibu, Sarawak. Beliau meninggalkan seorang isteri, Suriani Shafie, 38, dan empat anak berusia antara empat hingga 13 tahun. 


Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pohon Tanjong, di sini, bersebelahan kubur arwah ayahnya, petang semalam. 


Sementara itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) semalam melancarkan siasatan nahas berkenaan dan difahamkan, sekumpulan pegawai DCA sudah dihantar ke tempat kejadian bagi mengumpul bahan bukti. 
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail ketika mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya juga sudah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan, malah sedia bekerjasama dengan DCA bagi menyegerakan proses siasatan. 


“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat angin kencang, namun punca sebenar akan dapat diketahui selepas siasatan DCA selesai,” katanya yang ditemui ketika meninjau proses membawa pulang jenazah allahyarham Sahaimi ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan di Hospital Sibu, semalam. 

No comments:

Post a Comment