Wednesday, April 13, 2011

Langgar syarat parol




SEORANG  bekas tahanan penjara yang  mengikuti program parol  menjalankan kerja di ladang ternakan lembu.
SEORANG bekas tahanan penjara yang mengikuti program parol menjalankan kerja di ladang ternakan lembu.


3 peratus terpaksa kembali jalani baki hukuman dalam penjara 


KLUANG: Peluang kembali ke pangkuan masyarakat lebih awal menerusi pelaksanaan sistem parol masih gagal dimanfaatkan kira-kira tiga peratus banduan yang dipilih menyertai program terbabit di seluruh negeri ini sejak 2008, apabila mereka dikesan melanggar syarat yang ditetapkan.
Kegagalan mematuhi syarat parol menyebabkan banduan terbabit terpaksa kembali menjalani baki hukuman dalam penjara, berbanding status sebagai Orang Diparol (ODP) yang membolehkan mereka hidup di kalangan masyarakat sambil melakukan pelbagai pekerjaan halal yang sesuai bagi menyara kehidupan.
Sejak dilaksanakan mulai 2008, seramai 289 banduan dipilih sebagai ODP, tetapi kira-kira tiga peratus daripada mereka dikesan melanggar syarat parol seperti kegagalan ujian kencing kerana kembali terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta mematuhi arahan berada dalam rumah mengikut masa yang ditetapkan. 


Pengarah Parol Johor di Jabatan Penjara Malaysia, Raha Jawahir, berkata berdasarkan jumlah kecil banduan yang gagal mematuhi syarat parol ditetapkan, secara umumnya Johor adalah antara negeri yang berjaya dalam melaksanakan program itu. 


“Setakat ini, 249 ODP berjaya menjalani tempoh parol seperti ditetapkan Lembaga Parol. Ketika ini, ada 21 ODP sedang menjalani program terbabit di seluruh negeri di bawah pemantauan lima Pejabat Parol Daerah. 


“Secara umumnya, seramai 12 banduan menamatkan parol pada 2008, meningkat kepada 79 pada 2009 dan 146 orang pada tahun lalu. Sehingga 29 Mac tahun ini, seramai 12 orang ODP bebas sepenuhnya," katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian di sini, semalam. Turut hadir Timbalannya, Murad Daud. 
Parol antara lain bermaksud pelepasan seseorang banduan untuk menjalani sebahagian daripada hukuman yang dijatuhi terhadapnya di luar penjara mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Lembaga Parol yang terdiri daripada sekumpulan pegawai yang dilantik Yang Di Pertuan Agong. 


Raha berkata, antara syarat banduan yang layak dipertimbangkan menjalani parol adalah mereka yang dijatuhi hukuman lebih daripada setahun dan sudah menjalani sekurang-kurangnya separuh daripada hukuman di penjara melalui fasa pemulihan. 


“Contohnya, banduan yang jika dikenakan hukuman penjara tiga tahun, layak menjalani perintah parol selama enam bulan sekiranya sudah memenuhi syarat ditetapkan," katanya. 


Raha berkata, pesalah kes jenayah berat seperti bunuh, rogol, culik, pengedaran dadah serta tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak layak mendapat peluang menyertai sistem parol yang dilaksanakan itu. 


Beliau berkata, penyeliaan dan pemantauan ODP dilakukan Pegawai Parol Daerah yang berkaitan menerusi panggilan telefon, lawatan ke rumah dan tempat kerja secara mengejut pada bila-bila masa termasuk pada waktu malam. 


“Malah, ODP juga boleh diarah menjalani ujian kencing terutama bagi pesalah dadah serta menjalani program pemulihan lanjutan yang ditetapkan selain dirujuk kepada agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama serta lain-lain agensi," katanya. 

No comments:

Post a Comment