Wednesday, April 13, 2011

Jepun naikkan tahap krisis nuklear Fukushima setara bencana Chernobyl

TOKYO: Jepun semalam menaikkan tahap krisis di loji nuklearnya yang rosak menjadi setara teruknya dengan bencana nuklear Chernobyl, dari segi keseluruhan kebocoran radiasi yang tinggi dan mencemari udara, air paip, sayursayuran dan air laut.
Para pengawal nuklear Jepun berkata mereka telah menaikkan tahap krisis itu daripada 5 kepada 7, iaitu tahap tertinggi pada satu skala antarabangsa bagi kemalangan nuklear yang diseliakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).Ini selepas penilaian-penilaian baru ke atas kebocoran radiasi dari loji Fukushima Dai-ichi itu sejak ia dilumpuhkan akibat dipukul tsunami pada 11 Mac lalu.Kedudukan baru itu menandakan satu 'kemalangan besar' yang melibatkan kesan meluas ke atas sekitaran dan kesihatan, menurut IAEA, yang berpangkalan di Vienna.Namun para pegawai Jepun berkata sebarang kesan ke atas kesihatan hanya sedikit, dan kemudaratan akibat Chernobyl jauh melebihi kesan daripada loji Fukushima itu.Semakan itu dibuat sehari selepas Jepun meletak lima lagi kawasan dalam senarai tempat yang harus dijauhi bagi mengelakkan pendedahan jangka panjang kepada radiasi.Kawasan dalam lingkungan 20 kilometer di luar loji itu sudah dikosongkan.Berita itu dikesali penduduk di Iitate, salah sebuah kawasan yang paras radiasi dalam tanahnya dikesan sebagai tinggi. Desa dengan 6,200 penduduk itu terletak sekitar 40 kilometer dari loji Fukushima itu.Pegawai Jepun berkata paras radiasi yang bocor dari loji Fukushima itu sejauh ini 10 peratus daripada paras bencana Chernobyl, di bekas Soviet Union pada 1986, tetapi ia akhirnya akan melebihi paras Chernobyl jika krisis itu berterusan.'Ini mengesahkan semula bahawa bencana ini amat besar. Kami meminta maaf kepada orang awam, penduduk berhampiran loji dan masyarakat dunia kerana kami telah menyebabkan satu kemalangan sebegitu serius,' kata Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Yukio Edano.Namun beliau berkata tiada 'risiko kesihatan secara langsung'.Perdana Menteri Naoto Kan dalam satu ucapan di televisyen menggesa masyarakat awam supaya jangan cemas, dan meminta mereka menumpukan perhatian pada pemulihan daripada bencana itu.'Sekarang keadaan reaktorreaktor nuklear di loji Fukushima semakin stabil selangkah demi selangkah. Kebocoran radiasi makin berkurang. Namun kita harus terus berjaga-jaga,' katanya.Para pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Perusahaan berkata jumlah terkumpul debu beradioaktif yang keluar ke udara sejak kejadian itu telah mencapai paras insiden Tahap 7.Faktor-faktor lain termasuk kerosakan pada bangunan loji itu dan radiasi dalam tubuh pekerja.Loji Fukushima itu rosak apabila tsunami tersebut, yang menyusuli gempa bumi kuat, merosakkan sistem penyejukan dan penjana dieselnya hingga mengakibatkan letupan di tiga reaktor dan kebakaran di reaktor keempat. -- AP.

No comments:

Post a Comment