Monday, May 23, 2011

Bapa terkilan gagal penuhi permintaan mangsa




JOHARI AWANG


KUALA LUMPUR 22 Mei - Johari Awang, bapa kepada seorang lagi mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat semalam, Muhammad Kamarul Amizan Johari terkilan kerana tidak sempat memenuhi permintaan terakhir anaknya agar dibelikan beg sandang.
Menurut Johari, 40, kali terakhir dia bertemu Muhammad Kamarul Amizan atau Boboy ialah pada Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu, namun kerap berhubung melalui telefon.
"Baru-baru ini, dia ada telefon saya minta belikan beg sandang dan saya sudahpun membelinya cuma tiada masa untuk menghantar kerana sibuk," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Tambahnya, Boboy merupakan anak yang nakal dan degil tetapi berubah menjadi baik sejak belajar agama di rumah anak yatim berkenaan tiga tahun lalu.
Sementara itu, ibu kepada Boboy, Norjuhana Alang, 32, memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan arwah anaknya pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.
"Sejak masuk asrama pada 2009, kami jarang berjumpa. Allahyarham sejak kecil memang bercita-cita menjadi seorang ustaz. Baru-baru ini dia ada menelefon bertanya bila saya dan suami hendak datang melawatnya," katanya yang mengetahui tragedi tanah runtuh itu selepas menonton siaran televisyen.
Tambah Norjuhana, hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluh hatinya selepas melihat jenazah Boboy yang mengalami kecederaan di kepala semasa di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
Sementara itu, Zaleha Abdullah, 45, ibu kepada Allahyarham Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18, pula memberitahu, anaknya itu sepatutnya mendaftar masuk ke Kolej Matrikulasi Gopeng di Perak, esok.
"Dzahir Haziq yang mendapat 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini telah diterima memasuki Kolej Matrikulasi Gopeng dan sudah membuat persediaan termasuk membeli barang-barang untuk dibawa ke sana," katanya.
Menurutnya, anaknya itu pergi ke Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa setiap hujung minggu untuk belajar agama.
"Tak sangka kunjungannya ke situ semalam meragut nyawanya," kata Zaleha sebak tetapi reda menerima takdir menimpa anaknya itu.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment