Thursday, May 19, 2011

Hakim sedih banyak kes dadah babit orang Islam


SHAH ALAM: Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini, semalam melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam. 


Hakim Datuk Abd Rahim Uda, berkata orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
“Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan bahawa yang utama ialah ilmu dan apabila ilmu tiada kita main-mainkan hukum agama.
“Doa kami agar awak ambil (hukuman) ini sebagai lembaran baru dan jalani kehidupan mengikut undang-undang Allah dan bukan mengikut nafsu. Apa pun hukum dunia kita kena jalankan juga dan harap awak benar-benar insaf serta bertaubat nasuha,” katanya. 

Abd Rahim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini, pada jam 10.45 malam pada 21 Februari 2009. 

Fazizol sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B (1), Akta Dadah Berbahaya 1952, bersama seorang rakannya, pembuat jeriji, Mohd Zuhaili Husen, 30, ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta sama, pada prosiding semalam. 

Mohd Zuhaili dibebaskan tanpa dilepaskan daripada pertuduhan asal iaitu mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 
Sementara itu, suasana sayu apabila Fazizol dan Mohd Zuhaili berpelukan selepas kes berkenaan selesai. 

Ibu Mohd Zuhaili menangis manakala ahli keluarga dan rakan mereka kelihatan sedih melihat kedua-dua sahabat itu berpelukan. 

Terdahulu, ketika mitigasi, peguam Fazizol, Azizul Shariman Mat Yusof, memberitahu mahkamah anak guamnya hanya memperoleh pendidikan sehingga Tingkatan Satu. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi manakala Mohd Zuhaili diwakili peguam Suzanawati Ismail. 

No comments:

Post a Comment