Thursday, May 19, 2011

Kes nusyuz isteri pertama ditangguh




Kamarullail Sulaiman bersama isteri kedua di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH


KUALA LUMPUR 18 Mei - Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini menangguhkan kes nusyuz isteri pertama seorang ahli perniagaan, Lailan Nahar Ishak (gambar) berikutan wanita itu mendakwa suaminya Kamarullail Sulaiman pernah melafazkan cerai terhadapnya sebanyak dua kali, tahun lalu.
Hakim Syarie, Surayah Ramlee memutuskan demikian selepas Lailan selaku defendan yang diwakili peguam syarie Irsamuddin Ikhsan memaklumkan bahawa Kamarullail pernah berbuat demikian di kediaman mereka di Bukit Gantang.
Sehubungan itu Irsamuddin memohon mahkamah mengantung tuntutan nusyuz tersebut sehingga kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Taiping, Perak pada 13 Disember tahun lalu selesai bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kelak.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah keras oleh peguam syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan yang mewakili plaintif, Kamarullail, dengan mendakwa pihak defendan sengaja menimbulkan isu lain bagi melambatkan prosiding.
Ujar Muhammad Nur Hafiz, sepanjang prosiding tuntutan nusyuz yang dikemukakan sejak Januari lalu, beliau dan anak guamnya tidak pernah menerima dokumen pengesahan lafaz cerai itu daripada Lailan.
Pertikaian antara peguam kedua belah pihak dapat dihentikan sementara setelah Surayah menangguhkan kes itu sehingga esok bagi memberi peluang ia menyemak status kes pengesahan lafaz cerai sebelum membuat keputusan sama ada kes nusyuz itu diteruskan ataupun tidak.
Lailan, 45, hadir ke prosiding hari ini dengan ditemani tiga ahli keluarganya pada pukul 9.30 pagi, manakala suaminya Kamarullail, 48, yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang menyusul sejam kemudian.
Sebelum prosiding bermula, ibu Lailan yang uzur cuba menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Kamarullail, tetapi usahanya gagal kerana ditepis oleh tiga pengawal peribadi yang mengiringi lelaki tersebut.
Warga emas yang bertongkat itu kemudiannya cuba pula berjalan ke arah Kamarullail dan sekali lagi menghulurkan tangan tetapi menantunya melarikan diri.

No comments:

Post a Comment