Thursday, May 5, 2011

Mahkamah tolak saman RM20 juta Eskay berhubung jambatan bengkok


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah terhadap sebuah syarikat dan pengarah eksekutifnya yang menuntut ganti rugi RM20 juta sebagai komisyen berhubung projek jambatan bengkok. 

Hakim Datuk V.T Singham membuat keputusan itu setelah berpendapat Shazryl Eskay tidak layak menerima bayaran tersebut kerana projek berkenaan telahpun dibatalkan. 
Projek Laluan Masuk Antarabangsa Malaysia-Singapura itu, yang dirancang menggantikan Tambak Johor, dibatalkan kerajaan pada 12 April 2006 meskipun kerja-kerja awal sudah dijalankan.
Dalam penghakimannya, Hakim Singham berkata keputusan itu bukan sahaja dibuat kerana ia bertentangan dengan dasar awam, malah berdasarkan akujanji yang ditandatangani Shazryl Eskay dan defendan, jumlah RM20 juta perlu dipulangkan sekiranya penganugerahan projek tersebut ditamatkan dan projek berkenaan dibatalkan. Beliau berkata antara lain, akujanji itu menyatakan Shazryl Eskay perlu memulangkan atau membayar sebahagian daripada jumlah RM20 juta tersebut sekiranya projek berkenaan tidak dapat dilaksanakan. Hakim Singham berkata penganugerahan projek membabitkan jumlah yang tinggi sepatutnya dibuat menerusi tender terbuka, bukan melalui perkiraan sendirian atau melobi menggunakan pengaruh menteri atau pemimpin politik untuk kepentingan dan manfaat peribadi.
"Dalam situasi sedemikian, mahkamah ini tidak akan teragak-agak untuk membatalkan saman itu kerana ia bertentangan dengan dasar awam. Matlamat pembinaan jambatan tersebut antara kerajaan Malaysia dan Singapura semestinya adalah untuk kepentingan rakyat," katanya. 
Shazryl Eskay, seorang anggota trio ''Datuk T'' berhubung video kontroversi yang memaparkan aksi seks individu mirip seorang pemimpin pembangkang dengan seorang wanita dipercayai pelacur dari China, memfailkan saman itu pada 2002 dengan menamakan syarikat Merong Mahawangsa Sdn Bhd serta pengarah eksekutifnya, Datuk Yahya Abdul Jalil, sebagai defendan. 
Saman pelanggaran kontrak itu dikemukakan kerana defendan didakwa gagal membayar RM20 juta kepada Shazryl Eskay sebagai komisyen setelah beliau berjaya mendapatkan projek jambatan bengkok untuk Merong Mahawangsa dan Yahya. Shazryl Eskay mendakwa Yahya meminta bantuannya kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan kerajaan. 
Beliau juga mendakwa telah membawa Yahya ke kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu Menteri Kewangan, untuk berbincang mengenai projek berkenaan. 
Sementara itu, Yahya dalam penyataan pembelaannya menafikan bahawa Merong Mahawangsa telah dianugerahkan projek jambatan bengkok oleh kerajaan, atau menggunakan pihak ketiga, terutama Eskay, bagi mendapatkan projek kerajaan. 
Yahya hadir pada prosiding mahkamah hari ini, manakala Eskay tidak kelihatan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment