Thursday, May 12, 2011

Operasi cari Nur Syaza Sakinah dihentikan



SEREMBAN 11 Mei – Operasi mencari dan mengesan kanak-kanak, Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini minggu lalu dihentikan hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan serta nasihat daripada ketua gerakan operasi dan anggota keselamatan selepas usaha tersebut dilihat menemui jalan buntu.
‘‘Kita sudah putuskan perkara ini dalam mesyuarat bahawa kemungkinan untuk kita menemui mangsa yang telah hilang masuk hari kelapan, amat tipis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Jelasnya, pelbagai inisiatif dan pendekatan diambil bagi mengesan kanak-kanak itu termasuk memanggil Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) serta unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mohamad berkata, pihaknya berharap keluarga mangsa dapat menerima keputusan itu dengan tabah.
‘‘Ini amat mendukacitakan kita dan saya telah meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk mengadakan sembahyang jenazah ghaib di Masjid Bandar Baru Senawang, memandangkan kita tidak menemui mangsa,” katanya.
Tambahnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga mangsa lewat hari ini.
Nur Syaza Sakinah bersama dua kakaknya dihanyutkan air deras ketika sedang mandi-manda di hutan lipur tersebut Selasa lalu.
Kakaknya, Allahyarham Nur Syaza Alisa, 5, dan Allahyarham Nur Syaza Azira, 4, ditemui lemas dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Seremban, sehari selepas kejadian.
Dalam kejadian itu, bapa kanak-kanak terbabit, Said Ahmad dan kenalan wanita, Alwani Abu Hassan, 18, yang turut hanyut dalam insiden kepala air di hutan lipur itu berjaya diselamatkan oleh orang ramai.-utusan

No comments:

Post a Comment