Friday, May 20, 2011

'Tangan ghaib' gabung bank

KUALA LUMPUR- Pas mendakwa ada ‘tangan ghaib’ dalam isu penggabungan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Muamalat.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, penggabungan itu dilihat tidak memberi apa-apa faedah kepada BIMB.

Menurutnya, BIMB adalah anak syarikat BIMB Holding yang mana Tabung Haji pemegang saham terbesar, iaitu 51 peratus di dalamnya.

“Apa faedah Bank Islam mahu bergabung dengan Bank Muamalat sedangkan mereka sudah kukuh? Bank Islam mempunyai 115 cawangan dan 900 mesin ATM di seluruh negara.

“Saya bimbang ada lagi bail out (menyelamatkan) yang dilakukan menggunakan dana awam yang mana ini satu budaya tidak sihat,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau percaya Bank Muamalat mengalami masalah besar sehingga membuat penawaran penggabungan itu.

“Saya rasa ada tangan ghaib di sebalik arahan penggabungan ini kerana DRB Hicom mempunyai 70 peratus pegangan dalam Bank Muamalat, manakala 30 peratus lagi daripada Khazanah.

“Saya berharap Bank Muamalat bersikap telus dalam hal ini dan memberitahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Dalam laporan sebuah akhbar minggu lalu, DRB Hicom menyatakan minat untuk menjual 70 peratus kepentingan kepada Bank Islam.

Penggabungan itu dikatakan memberi impak besar seperti saranan kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat antarabangsa untuk kewangan Islam.
SH

No comments:

Post a Comment