Thursday, June 2, 2011

Jurumudi bot jumpa mayat lelaki warga asing dalam Sungai Melaka




ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki dijumpai mati di Sungai Melaka berhampiran Taman Rempah di Melaka, semalam.


MELAKA 1 Jun - Seorang jurumudi bot Melaka River Cruise terkejut apabila objek menyerupai patung besar yang ditemuinya di Sungai Melaka pagi ini rupa-rupanya mayat seorang lelaki warga asing.
Rosmah Yassin, 28, berkata, mayat itu ditemui ketika dia dalam perjalanan ke bengkel membaiki bot kira-kira pukul 8.30 pagi.
"Saya nampak satu objek seperti patung dan tidak ambil peduli sangat. Tetapi sewaktu dalam perjalanan balik selepas membaiki lampu hadapan bot, saya menghampiri 'patung' itu.
"Saya terkejut apabila mendapati objek yang saya sangka patung itu rupanya mayat seorang lelaki sedang dikerumuni dua ekor biawak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Menurutnya, selepas itu, tubuhnya terus menggigil dan berpatah balik ke bengkel untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, mayat lelaki berkenaan dipercayai warga asing berusia 22 tahun dan telah mati kira-kira dua hari sebelum ditemui.
"Polis turut menemui satu dokumen menyerupai permit kerja pada mayat, namun semakan mendapati tiada permit sebegitu pernah dikeluarkan Jabatan Imigresen.
"Sehubungan itu, polis percaya dokumen yang tertera mangsa merupakan warga Myanmar ini merupakan permit palsu," katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada gigitan haiwan atau cedera dipukul.
Katanya, pihaknya menunggu hasil laporan bedah siasat sebelum dapat mengklasifikasikan kes berkenaan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment